TELUK INTAN - Polis menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dalam kejadian merusuh semasa perlawanan bola sepak yang berlangsung di Padang Speedy, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 31 tahun itu ditahan sekitar jam 11.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Menurut beliau, tangkapan dilakukan selepas menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat pergaduhan melibatkan dua pasukan bola sepak tempatan.
"Kejadian berlaku pada separuh masa kedua apabila berlaku insiden kekasaran apabila seorang pemain telah melakukan 'tackle' keras terhadap pemain lawan.
"Tindakan keras tersebut mencetuskan pertelingkahan antara pemain kedua-dua pasukan sebelum bertukar menjadi pergaduhan fizikal besar-besaran yang melibatkan semua pemain kedua-dua pasukan.
"Dalam kekecohan itu, dua penonton lelaki, dipercayai penyokong Padang Tembak FC, telah memanjat pagar dan memasuki padang selain menyerang dua pengadil," katanya di sini.
Bakri berkata, seorang pengadil berusia 23 tahun telah menerima rawatan di Hospital Teluk Intan selepas ditumbuk di bahagian rusuk semasa cuba meleraikan pergaduhan itu.
"Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada Liga Integriti Hilir Perak 2025.
"Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.