JPJ rekod 17,347 kesalahan pemandu kenderaan perdagangan warga asing

Iklan
Muhammad Kifli menunjukkan antara sitaan lori yang dilaksanakan JPJ baru-baru ini. Foto JPJ

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 17,347 kesalahan pemandu kenderaan perdagangan warga asing sejak tahun 2021 hingga Julai lepas.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sepanjang tempoh itu kesalahan tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) mencatatkan 16,238 kes, tiada Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) (443 kes) dan lebih muatan (666 kes).

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah kesalahan terbabit mencatatkan peningkatan setiap tahun iaitu 2021 dengan 2,193 kes, 2022 (2,839 kes), 2023 (4,323 kes), 2024 (5,259 kes) dan tahun ini setakat Julai sudah merekodkan 2,733 kes.

"Kita telah kenal pasti kira-kira 10 syarikat kenderaan perdagangan yang menggajikan pekerja asing secara tidak sah.

Iklan

"Berdasarkan peraturan JPJ, warga asing tidak dibenarkan memiliki GDL, PSV dan menjadi satu kesalahan terhadap syarikat dan pengendali berlesen yang menggajikan warga asing serta memandu mana-mana kenderaan perdagangan," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, JPJ menyeru semua syarikat dan pengendali berlesen dalam industri pengangkutan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan setiap pekerja yang diambil memiliki dokumen dan kelayakan yang sah.

Iklan

Muhammad Kifli (kanan) menemu bual pemandu warga asing kenderaan perdagangan yang ditahan. Foto JPJ

Tambahnya, kerjasama semua pihak amat penting dalam menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kelestarian sektor pengangkutan negara.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya memuji dan menyokong penuh tindakan JPJ.

Jelasnya, tindakan tegas JPJ ke atas pemandu kenderaan perdagangan warga asing wajar dipuji dan sudah sampai masanya tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

“Kita nak pastikan undang-undang sedia ada dikuatkuasakan tanpa kompromi, kerana undang-undang hanya membenarkan warga tempatan sebagai pemandu kenderaan perdagangan," katanya.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan JPJ akan mengambil tindakan melucuthakkan kenderaan milik syarikat dan pengendali berlesen kenderaan perdagangan yang menggajikan warga asing sebagai pemandu berkuat kuasa pada Khamis.

Tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 22, 41, 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 80 APAD 2010.