SETIU – “Masa jumpa arwah hari itu dia nampak sedikit pelik sebab kurang bercakap. Dia juga ada minta untuk makan nasi minyak, tetapi saya tidak sempat sediakan kerana kekangan masa.
“Saya rasa terkilan kerana tidak sempat masak nasi minyak yang menjadi kegemarannya,” kata Maznah Ismail, 64, ibu kepada Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang terkorban ketika bertugas, Khamis lalu.
Pertemuan pada Sabtu lalu menjadi yang terakhir buat Maznah sebelum anak ketiga daripada tujuh beradik itu kembali ke Kedah untuk meneruskan tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK), tempat arwah berkhidmat sejak 15 tahun lalu.
Menurut Maznah, sejak kecil arwah sudah bercita-cita menjadi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berazam untuk berkhidmat sehingga akhir hayatnya.
“Arwah anak yang baik, tidak pernah melawan kata. Saya bersyukur kerana dia berjaya mencapai impian untuk menjadi polis. Saya juga reda dia pergi ketika bertugas dan berbakti kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pak Kancil, di sini, pada Jumaat.
Mengulas detik menerima khabar duka itu, Maznah berkata ketika kejadian, beliau dan suami, Mazlan Umar, 64, berada di Tol Gombak untuk ke Shah Alam sebelum bergegas pulang ke Terengganu.
Sementara itu, Mazlan berkata beliau terkejut menerima panggilan sekitar jam 4 petang daripada menantunya yang memaklumkan arwah meninggal dunia, namun tidak menceritakan insiden sebenar.
“Arwah bertugas di bahagian jenayah. Sebagai bekas anggota polis, saya tahu risiko yang dihadapi setiap kali menjalankan tugas,” katanya.
Koperal Mohd Hafizul Izham meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 petang selepas dirempuh kenderaan dinaiki empat penjenayah yang cuba melarikan diri daripada ditahan berhampiran Taman Golf, Alor Setar, Kedah.
Arwah yang ketika itu menjalankan tugas cuba menghalang suspek kes pecah rumah daripada melarikan diri sebelum dirempuh dan maut di tempat kejadian.
Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya kira-kira jam 8.40 pagi sebelum disolatkan di Masjid Kampung Pak Kancil pada jam 9.15 pagi.
Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Kancil pada jam 10.20 pagi dengan istiadat pengebumian kepahlawanan PDRM, dihadiri Ketua Polis Terengganu, Datuk Khairi Khairudin, yang menyerahkan bendera Sang Saka Biru kepada bapa Allahyarham sebagai tanda penghormatan terakhir.
Lebih 300 orang hadir mengiringi perjalanan terakhir wira negara itu, termasuk ahli keluarga, rakan sekerja dan penduduk kampung.