KAJANG - Polis menegaskan agar isu melibatkan sebuah rumah ibadat haram di Rawang yang dirobohkan tidak dijadikan sebagai isu perkauman atau keagamaan, sebaliknya berkaitan pencerobohan dan keengganan untuk berpindah keluar dari tanah berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan.
"Apabila kes itu melibatkan rumah ibadat, justeru jangan dipolitikkan atau dimainkan sentimen keagamaan.
“Isu ini sebenarnya bersifat jelas dan tidak wajar dijadikan isu perkauman atau keagamaan kerana perkara sebenar adalah berkaitan pencerobohan serta keengganan untuk berpindah keluar dari tanah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di sini pada Sabtu.
Shazeli berkata, individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan susulan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau menjelaskan, polis mematuhi sepenuhnya keputusan mahkamah tersebut.
“Pihak media perlu membantu menenangkan keadaan dan memastikan maklumat yang disampaikan tidak menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Pada peringkat ini, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan dan kita tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi terhadap mana-mana pihak sama ada pemilik tanah mahupun pihak pengurusan kuil," ujarnya.
Tambah Shazeli, diharapkan semua pihak dapat menunggu hasil siasatan.
"Apabila siasatan selesai dan keputusan diperoleh, perkara itu akan dikongsikan kepada media dan orang ramai,” ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan empat lelaki ditahan Rabu lalu kerana disyaki merobohkan kuil haram tanpa sebarang pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan.
Tangkapan dibuat ke atas empat lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 39 tahun serta rampasan sebuah jengkaut.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan untuk membatalkan tahanan reman dua hari yang dikeluarkan oleh Majistret Selayang terhadap suspek dan kesemua mereka dibebaskan serta-merta.