Sindiket seludup migran digempur, 36 individu ditahan di Bagan Datuk

Iklan
Polis Perak menahan 36 individu termasuk tekong terlibat penyeludupan migran di Sungai Payung, Selekoh, Bagan Datuk.

IPOH - Polis Perak berjaya menahan 36 individu termasuk tekong dipercayai terlibat dalam penyeludupan migran di sekitar Sungai Payung, Selekoh, Bagan Datuk.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, operasi dijalankan selama dua hari bermula Jumaat itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk hasil maklumat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan pertama kira-kira jam 6.15 petang berhampiran kebun kelapa sawit, polis menemui 25 lelaki dan empat wanita terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.

"Ketika serbuan, kesemua mereka berusia antara 18 hingga 55 tahun itu sedang duduk berkumpul bersama beg pakaian masing-masing dipercayai cuba diseludup pulang ke Indonesia menggunakan jalan laut," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, serbuan di lokasi sama pada sebelah malam pula, polis berjaya menahan seorang tekong darat berusia 44 tahun dan seorang transporter darat berusia 31 tahun.

"Dalam serbuan ini, polis turut merampas sebuah kereta Honda City yang digunakan untuk menguruskan pengangkutan dan makanan migran.

Iklan

"Lima lagi warga Indonesia, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 36 tahun ditahan di tepi jalan Kampung Sungai Payung pada Jumaat," katanya.

Noor Hisam berkata, semua tekong dan transporter darat direman 28 hari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah) Khas 2012 manakala 34 migran direman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002) sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk pengesahan identiti.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kejayaan operasi ini hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan.

"Orang ramai disaran untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah bagi mempertingkatkan tindakan pembanterasan dan memastikan negeri Perak kekal aman serta selamat," katanya.