Serang Koperal dengan parang, pemotong rumput dipenjara lapan bulan

Iklan
Tertuduh yang mengaku salah atas tuduhan mencederakan anggota polis guna parang disabitkan kesalahan sebelum menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh tangkap, 2 Ogos lalu.

KUANTAN - Seorang pemotong rumput dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret, pada Jumaat atas tuduhan mencederakan anggota polis menggunakan parang di Felda Bukit Kuantan di sini, pada Sabtu lalu.

Hukuman penjara ke atas tertuduh, Muhamad Firdaus Abdul Hamid, 37, bermula dari tarikh dia ditangkap.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Ahmad Mokhlis, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan anggota polis Muhammad Shafril Izzwan Ismail,37 menggunakan sebilah parang panjang dan dua parang pendek yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan kira-kira jam 5.15 petang pada tarikh berkenaan.

Iklan

Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang masih bujang didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Iklan

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Azlan Mohd Arish@Arshad merayu agar hukuman penjara diringankan.

Manakala pihak pendakwaan memohon satu hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira kesan tindakannya ke atas mangsa.

Majistret Ellyna Othman dalam keputusannya mensabitkan tertuduh dengan kesalahan itu sebelum menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas lelaki itu.

Media sebelum ini melaporkan anggota berpangkat koperal dari Balai Polis Panching itu cedera selepas ditetak menggunakan parang ketika cuba menenteramkan lelaki itu.

Sebelum itu, pihak polis menerima panggilan kecemasan melalui Sistem Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 berhubung tindakan agresif lelaki terbabit.

Tiga anggota termasuk mangsa ke lokasi untuk menenangkan suspek.

Dalam kejadian itu, mangsa telah diserang hingga mengalami kecederaan serius di bahagian belakang badan, dagu dan jari tangan kiri.