Anggota polis cedera ditetak ketika tenangkan lelaki kurang siuman

Yayaha (kanan) melawat Mohd Shafril yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana mengalami kecederaan. Foto IPD Kuantan
Yayaha (kanan) melawat Mohd Shafril yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana mengalami kecederaan. Foto IPD Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis dari Balai Polis Panching cedera selepas ditetak ketika cuba mententeramkan lelaki dipercayai kurang siuman bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan, di sini petang Sabtu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang apabila pihak polis menerima panggilan kecemasan melalui Sistem Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 berhubung tindakan agresif lelaki terbabit.

Menurutnya, tiga anggota ke lokasi untuk menenangkan suspek, namun salah seorang daripada mereka, Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, telah diserang.

"Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian belakang badan, dagu dan jari tangan kiri akibat serangan tersebut.

Senjata yang dipercayai digunakan suspek turut dirampas. Foto IPD Kuantan
Senjata yang dipercayai digunakan suspek turut dirampas. Foto IPD Kuantan

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dirawat di Zon Kuning," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 37 tahun, tidak bekerja dan dipercayai mengalami masalah mental.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada rekod jenayah lampau direkodkan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Lokasi seorang polis cedera akibat ditetak lelaki dipercayai kurang siuman bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan, petang Sabtu. Foto IPD Kuantan
Lokasi seorang polis cedera akibat ditetak lelaki dipercayai kurang siuman bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan, petang Sabtu. Foto IPD Kuantan

"Kita telah menahan suspek dan merampas beberapa senjata tajam di lokasi kejadian.

"Suspek turut dirujuk ke Wad Psikiatri HTAA bagi tujuan pemeriksaan kesihatan mental," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!