PERNAH berasa tidak layak memeluk Islam, saudara baharu, Nur Hidayah Ang, 52, menyimpan rasa rendah diri yang mendalam sewaktu mula-mula cuba mendekati agama fitrah ini.
Bukan kerana tidak percaya, sebaliknya banyak halangan dari dalam diri yang membuatkan beliau ragu-ragu.
Namun jauh di sudut hati, sejak kecil lagi, Nur Hidayah Ang atau Ang Kwai Leng telah mula mencari jawapan kepada persoalan besar tentang kehidupan.
“Sejak umur 10 tahun, saya sudah persoalkan kenapa kita hidup? Takkan hidup ini hanya lahir, tua dan mati begitu saja? Saya rasa kosong,” ceritanya.
Meskipun dilahirkan dalam keluarga penganut Buddha, Nur Hidayah Ang mempersoalkan amalan sembahan berhala dan ritual keagamaan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Baginya, sesuatu terasa janggal apabila patung disembah seolah-olah mampu menyampaikan doa dan hajat manusia.
“Pernah masa upacara sembah, mereka letak gula-gula supaya ‘malaikat’ (mengikut kepercayaan Cina) makan dan sampaikan ke atas semua yang baik-baik.
“Saya kata, ‘eh, itu macam rasuah’. Masa itu saya tahu ini bukan cara yang betul,” katanya.
Beliau kemudian menelusuri ajaran beberapa cabang Kristian, namun hatinya masih belum menemukan ketenangan yang dicari.
Titik perubahan berlaku apabila abangnya yang terlebih dahulu memeluk Islam berkongsi kisah penghijrahannya dan keberkatan doa kepada Sang Pencipta.
“Dia cerita macam mana dia dapat pergi haji walaupun tak ada simpanan pada awalnya. Namun, berkat usaha dan doa, dia dapat buka akaun Tabung Haji pada tahun 2010. Mungkin sudah tertulis rezekinya, dia dapat pergi haji pada tahun berikutnya.
“Saya betul-betul kagum dengan kisahnya. Daripada situ saya yakin, kalau seseorang benar-benar cari Tuhan, ALLAH akan bukakan jalan,” jelas beliau.
Cabaran peluk Islam
Keputusan untuk memeluk Islam bukan satu langkah yang mudah kerana pada waktu itu beliau masih dalam ikatan perkahwinan dengan suami bukan Muslim.
“Saya cakap dengan suami masa itu, saya nak belajar Islam. Dia kata boleh belajar, tapi jangan masuk Islam,” ceritanya yang ketika itu sudah mempunyai tiga cahaya mata.
Namun apabila niatnya semakin kukuh, suaminya akhirnya akur. Nur Hidayah Ang mengucapkan dua kalimah syahadah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1 Mei 2017 sebelum mendaftarkan keislamannya secara rasmi di Majlis Agama Islam Selangor empat hari kemudian.
Beliau kemudian berpisah dengan suami, tujuh bulan selepas sah bergelar Muslimah.
“Saya jadi setiausaha masa itu, baju itu jangan cakaplah, memang agak seksi, tetapi selepas masuk Islam dan berhijab, saya dipindahkan ke pelbagai jabatan.
“Tekanan demi tekanan diterima dari sebelum saya peluk Islam lagi sampai satu tahap, saya sakit teruk, stres bekerja dan akhirnya saya berhenti,” katanya yang kembali menjadi isteri selepas berkahwin dengan seorang lelaki mualaf, Hanan Mok pada 2018.
Juara pertandingan hafazan
Ujian yang dilalui membuka ruang untuk beliau mendalami al-Quran, kitab suci yang sejak dahulu menarik minatnya.
Disebabkan faktor usia, Nur Hidayah Ang menghadapi cabaran dalam mempelajari tajwid hingga perlu mengikuti kelas intensif sebanyak tiga kali demi menguasainya dengan baik.
“Saya pelupa orangnya, jadi (belajar) tajwid memang menjadi cabaran.
“Ketika itu, saya sudah tidak bekerja dan tak mampu bayar, tetapi ustazah yang mengajar saya kata tak perlu bayar, janji saya rajin dan teruskan belajar,” katanya.
Berkat kegigihan, beliau akhirnya berjaya khatam al-Quran dua kali.
Lebih menggembirakan, ibunya turut mengucap syahadah seminggu selepas beliau memeluk Islam. Kini, empat daripada lima adik-beradiknya juga telah memeluk agama suci itu.
Anak bongsunya yang kini berusia 18 tahun turut menjadi Muslim dan sering menjadi temannya bertadarus.
“Saya harapkan anak-anak dan cucu-cucu saya dapat kebahagiaan dunia akhirat serta kembali ke jalan fitrah kembali kepada ALLAH,” katanya penuh harapan.
Kini, Nur Hidayah Ang giat mengusahakan perniagaan makanan tradisional Cina, Bak Chang (nasi pulut) dan aktif menjalankan kerja kebajikan sebagai sukarelawan Hidayah Centre Foundation.
“Walaupun saya dah tiada jawatan rasmi, saya tetap bantu bila perlu. Islam ajar kita untuk terus memberi,” katanya.