Jalur Gemilang terbalik satu penghinaan

Iklan
Sudah tiba masanya kita memuliakan Jalur Gemilang sebagaimana kita memuliakan kemerdekaan yang dikecapi. Foto hiasan

MALAYSIA akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-68 pada 31 Ogos tahun ini.

Namun yang menjadi tanda tanya, selepas lebih enam dekad negara merdeka, masih wujud insiden yang boleh disifatkan tidak masuk akal iaitu kesilapan dan ketidakhormatan terhadap Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan dan maruah negara.

Iklan
Iklan

Terbaharu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua memohon maaf secara terbuka susulan insiden memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada minggu lalu.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, perkara tersebut tidak perlu lagi diperbesarkan. Terdapat juga pemimpin politik yang meminta supaya perkara tersebut tidak dipolitikkan.

Iklan

Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, ini bukan soal politik tetapi soal patriotisme terhadap negara.

Meskipun permohonan maaf telah dibuat selain pekerja orang kurang upaya (OKU) yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dikatakan menjadi punca kejadian itu, namun alasan ini tidak boleh diterima.

Iklan

Sepanjang tahun ini sahaja lebih tiga kes dilaporkan berkaitan kes kesilapan Jalur Gemilang yang dilaporkan media termasuk melibatkan kesilapan teknikal yang berlaku termasuk dilakukan agensi kerajaan.

Lebih menyedihkan, ketika negara sedang melaksanakan kempen kibar Jalur Gemilang ketika ini masih kelihatan bendera Malaysia yang dibiarkan koyak, lusuh dan usang tergantung di tiang-tiang tanpa diselenggara.

Ada juga yang menjadikan bendera negara sebagai bahan peragaan fesyen seperti baju, skirt dan tudung yang sebenarnya ia satu penghinaan nyata terhadap simbol negara.

Walaupun niat mungkin untuk menunjukkan semangat kebangsaan, namun ia jelas melanggar etika dan sempadan kesopanan terhadap lambang negara.

Kesilapan memasang secara terbalik boleh membawa konotasi negatif, termasuk maksud kecemasan atau negara dalam keadaan bahaya, isyarat yang dalam sesetengah negara membawa makna pemberontakan atau penghinaan.

Sikap sambil lewa dan alpa terhadap tatacara penggunaan Jalur Gemilang mencerminkan kegagalan dalam membina jiwa patriotik dalam kalangan rakyat.

Lebih-lebih lagi apabila ada yang tidak ambil peduli walaupun bendera yang dikibarkan sudah koyak, lusuh dan tidak sesuai dipamerkan.

Dalam hal ini, pendidikan sivik dan patriotisme di sekolah, media serta program masyarakat perlu diperkukuh semula.

Rakyat perlu disedarkan tentang nilai dan erti sebenar kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan bendera, tetapi memahami makna di sebalik setiap jalur, warna dan bentuk yang membentuk Jalur Gemilang.

Apa yang perlu difahami, Jalur Gemilang bukan sekadar bendera. Ia adalah simbol perjuangan, maruah dan perpaduan negara yang lahir daripada darah dan air mata pejuang kemerdekaan.

Pihak berkuasa juga perlu lebih tegas. Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 wajar dikuatkuasakan secara menyeluruh, agar tidak ada pihak sewenang-wenangnya mempermain atau memanipulasi simbol kebangsaan demi keuntungan komersial atau kecuaian yang memalukan.

Malaysia sudah merdeka selama 68 tahun. Kesalahan seperti memasang bendera terbalik, membiarkannya koyak dan menjadikan ia bahan fesyen bukan lagi satu kekhilafan yang boleh diterima.

Ia satu penghinaan kepada semangat kemerdekaan dan bukti bahawa semangat cintakan negara belum benar-benar meresap dalam jiwa sesetengah rakyat.

Sudah tiba masanya kita memuliakan Jalur Gemilang sebagaimana kita memuliakan kemerdekaan yang dikecapi.

Jangan sampai kita terus merdeka hanya pada nama, tetapi gagal mengangkat martabat simbol yang mewakili seluruh kedaulatan bangsa.

*Mohd Iskandar Othman ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara