Pemandu warga asing guna MyKad, lesen palsu lari tinggalkan lori

Iklan
Muhammad Kifli (kiri) menunjukkan lori yang dipandu lelaki warga asing menggunakan MyKad dan lesen palsu.

GOMBAK – Operasi khas membabitkan pemandu kenderaan perdagangan yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membongkar penggunaan kad pengenalan dan lesen memandu palsu oleh warga asing.

Operasi yang dijalankan di Selayang pada Rabu itu membawa kepada penahanan sebuah lori yang membawa bahan buangan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Anggota operasi JPJ Kuala Lumpur telah menahan kenderaan perdagangan berkenaan dan meminta pemandunya menunjukkan lesen memandu dan kad pengenalan.

Bagaimanapun, selepas menyerahkan dokumen terbabit, pemandu yang dipercayai warga Indonesia berusia lingkungan 40-an melarikan diri ke arah kawasan hutan berhampiran.

Iklan

Muhammad Kifli menunjukkan paparan gambar rampasan hasil tindakan pemandu kenderaan perdagangan warga asing.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, semakan lanjut mendapati kad pengenalan serta Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang dikemukakan adalah palsu.

Iklan

“Pemandu terbabit telah menghilangkan diri dan isu pemalsuan dokumen ini merupakan kesalahan yang sangat serius.

“Kita akan menyiasat sindiket yang terlibat dalam pengeluaran lesen palsu terbabit,” katanya kepada pemberita di Stesen Penguat Kuasa Gombak, pada Khamis.

Seorang pemandu warga asing ditahan kerana memandu tanpa sebarang dokumen sah.

Tambah Muhammad Kifli, dalam kes berasingan, seorang lagi pemandu lori warga Indonesia turut ditahan di Sungai Pusu, Gombak kerana memandu tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

Lelaki tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Beliau memaklumkan, berdasarkan operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sebelum ini, pihaknya mendapati terdapat beberapa kes warga asing memandu kenderaan perdagangan menggunakan lesen memandu palsu.