Tauke dadah Vietnam edar, miliki dadah 5kg berdepan hukuman mati

Iklan
Wanita warga Vietnam, Vo Thi Be Thu (dua, kanan), dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan edar, miliki dadah.

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah lebih 5 kilogram, dua minggu lalu.

Tertuduh, Vo Thi Be Thu, 31, bagaimanapun hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan kepadanya dalam Bahasa Mandarin; namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa mengedar dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 5,286 gram di sebuah unit rumah di apartment di Persiaran Sutera Danga di sini, pukul 2 petang, pada 25 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Di mahkamah sama, tertuduh tidak mengaku bersalah bagi dua pertuduhan memiliki 20 gram dadah MDMA dan 9 gram dadah ketamin di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak lebih sembilan kali serta Seksyen 12(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid, tertuduh didakwa memiliki 11 gram dadah ketamin di sebuah lagi unit rumah dalam apartment sama, pada pukul 3.20 petang, tarikh sama.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 selepas dibacakan dalam Bahasa Mandarin terhadapnya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Manushri Suthakar dan Siti Aishah Latif.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan.

Pada masa sama, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, bagaimanapun pendakwaan ditangguhkan ke 27 Ogos ini bagi mendapatkan jurubahasa Vietnam.

Ahad lalu, bekas Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, satu sindiket pengedaran dadah didalangi seorang wanita warga Vietnam tumpas, hasil serbuan dua unit rumah di sebuah apartment berpagar dan berpengawal.

Dalam serbuan itu, sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM4.9 juta dirampas.

Beliau dilaporkan berkata, sindiket yang aktif sejak April lalu itu dipercayai memproses dan membungkus semula dadah dalam peket kecil sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.