Ibu Zara Qairina serah telefon bimbit kepada polis petang ini

Iklan
Ibu Zara Qairina Mahathir akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan telefon dengan anaknya kepada pihak polis.

KOTA KINABALU - Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan telefon dengan anaknya kepada pihak polis di ibu pejabat polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Kapayan pada petang Khamis.

Pasukan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, 45, berkata, tindakan itu adalah untuk membantu melengkapkan siasatan pihak polis susulan pengembalian semula kertas siasatan oleh Jabatan Peguam Negara pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Kami berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Allahyarham kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berserta arahan berhubung beberapa perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Untuk membantu melengkapkan siasatan polis, anak guam kami iaitu ibu kepada Zara akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman-rakaman audio perbualan telefon antara dia dan Zara kepada polis pada petang ini di IPD Kota Kinabalu di Kapayan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Hamid (kanan) bersama rakan sepasukannya, Shahlan ketika berbincang mengenai kes Zara Qairina.

Dalam kenyataan bersama itu juga turut berharap, susulan penyerahan semula laporan kertas siasatan tersebut turut diiringi dengan langkah seperti yang dimohon menerusi surat yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Iklan

"Tindakan ini adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dimohon oleh kami dalam surat bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

"Kami berharap tiga perkara ini telah dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan iaitu penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara," katanya.

Sebelum itu, empat rakaman suara melibatkan perbualan Zara Qairina bersama ibunya ditularkan di media sosial.

Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat liputan meluas selepas kematiannya didakwa dikaitkan dengan perbuatan buli di sekolah tersebut.