ISLAMABAD - Mayat seorang lelaki yang hilang selama 28 tahun akhirnya ditemui dalam glasier yang mencair.
Penemuan itu dibuat seorang penggembala yang tersadung jasad itu secara tidak sengaja ketika kejadian di kawasan pergunungan terpencil di Lady Valley, wilayah Kohistan.
"Saya seperti tidak percaya kerana tubuhnya tidak terjejas langsung malah masih berpakaian lengkap," kata Omar Khan.
Pihak berkuasa berjaya mengenal pasti identitinya sebagai lelaki yang dilaporkan hilang pada Jun 1997 berdasarkan nama yang tertera pada kad pengenalan mangsa.
'Lelaki mumia' dikenali sebagai Naseeruddin itu dipercayai terjatuh ke dalam retakan glasier ketika ribut salji.
Wilayah itu dikatakan berdepan pencairan salji secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penemuan itu membuktikan fenomena perubahan iklim menjadi faktor utama glasier terus mencair.
Sementara itu, Ketua Jabatan Alam Sekitar di Comsats University Islamabad, Profesor Muhammad Bilal berkata, suhu sejuk melampau telah menghalang tubuh manusia daripada mereput.
"Ia menjadi mumia kerana kekurangan lembapan dan oksigen dalam glasier," menurutnya lagi. - Agensi