Ketua Hakim Negara ikrar lindungi kebebasan kehakiman 'seluruh jiwa dan raga'

Iklan
Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (tengah) pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman pada Rabu. Turut kelihatan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim (kiri) dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi (kanan). Foto Bernama

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Rabu memberi jaminan teguh untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman negara sambil berikrar menjaga institusi itu dengan 'seluruh jiwa dan raga'.

Memetik laporan News Straits Times, Wan Ahmad Farid berkata, latar belakang pengalamannya dalam ketiga-tiga cabang kerajaan, termasuk sejarah politik sebelum ini tidak akan mempengaruhi komitmen terhadap tugas sebagai hakim tertinggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau tidak menafikan sejarah mengenai kerjaya sama ada politik atau sebaliknya sememangnya tidak dapat dipadamkan.

"Namun, apabila memikul amanah yang paling berat ini dan selagi menduduki kerusi ini, saya memberikan ikrar tanpa syarat bahawa akan mempertahankan dan melindungi kebebasan badan kehakiman kita dengan penuh ketegasan.

Iklan

“Sekarang, marilah kita melihat ke hadapan untuk masa depan kehakiman negara iaitu sebuah badan kehakiman yang bebas, berdaya tahan, cekap, berilmu dan mudah diakses.

"Marilah kita melakukannya demi negara tercinta,” katanya dalam ucapan sulungnya semasa majlis sambutan pelantikan di Istana Kehakiman di sini

Iklan

Wan Ahmad Farid turut menyeru para hakim, pegawai kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak serta pihak berkepentingan lain untuk bekerjasama dalam membina institusi kehakiman yang kukuh dan berintegriti.

Wan Ahmad Farid, 62, yang juga bekas ahli UMNO memulakan kerjaya perkhidmatan awam sebagai senator pada Disember 2005 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari Mac 2008 hingga April 2009.

Beliau pernah menjadi pembantu politik kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 2009, namun tewas tipis.

Beliau bersara daripada politik pada 2013 dan kini menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.