Warga emas baru sedar perkahwinan masih sah walau sudah fail cerai 25 tahun lalu

Iklan
Seorang lelaki warga emas gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini, untuk meminda tarikh perceraian bagi perkahwinan pertama pada 16 Januari lalu kepada hampir 25 tahun lebih awal.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini, untuk meminda tarikh perceraian bagi perkahwinan pertama pada 16 Januari lalu kepada hampir 25 tahun lebih awal.

Hakim, Datin Evrol Mariette Peters (kini Hakim Mahkamah Rayuan), memutuskan demikian selepas mendapati lelaki berusia 65 tahun itu gagal mengesahkan perpisahannya, tiga bulan selepas memfailkan perceraian pertama, pada tahun 2000.

Iklan
Iklan

Untuk makluman, jika pasangan bukan Islam di negara ini tidak mahu meneruskan perkahwinan, mereka perlu memfailkan petisyen cerai di mahkamah tinggi sivil.

Jika wujud persetujuan, mahkamah akan mengeluarkan Dekri Nisi iaitu perintah cerai sementara.

Iklan

Selepas tiga bulan, mereka perlu memohon Dekri Mutlak yakni perintah cerai muktamad.

Dalam kes warga emas terbabit, berdasarkan keputusan penghakiman yang dikeluarkan pada 27 Julai, hakim berkata, lelaki berkenaan memohon pengesahan cerai secara rasmi kemudian memperoleh Dekri Mutlak, bertarikh Januari lalu.

Iklan

Tidak berpuas hati dengan tarikh berkenaan, dia memohon supaya tarikh itu dipinda dengan alasan telah berpisah secara rasmi pada 8 Ogos 2000.

Sedangkan mengikut rekod mahkamah, lelaki itu dan isteri telah diberikan Dekri Nisi pada 19 Jun 2000 tetapi, tiada langkah diambil oleh mana-mana pihak untuk mengesahkan perceraian menerusi Dekri Mutlak, selepas tiga bulan daripada tarikh terbabit.

Meski pun belum mendapat Dekri Mutlak, lelaki itu telah berkahwin buat kali kedua pada tahun 2001 dan mendapat beberapa cahaya mata.

Sehinggalah pada awal tahun ini, lelaki tersebut memohon untuk mendapatkan Dekri Mutlak, dengan alasan mahu ‘menghalalkan’ perkahwinan kedua selain memperbetulkan status kelahiran anak-anaknya.

“Mahkamah mendapati kegagalan untuk menamatkan Dekri Nisi bukanlah kesilapan kecil atau teknikal, tetapi kelalaian yang serius dan tidak boleh dibetulkan dengan mudah.

“Undang-undang perceraian di Malaysia menetapkan dua peringkat iaitu Dekri Nisi dan Mutlak.

“Jadi tempoh tiga bulan selepas Dekri Nisi disediakan untuk memberi ruang kepada pasangan supaya berfikir semula, menyelesaikan hal kewangan atau berbincang mengenai anak-anak.

“Dekri Nisi tidak akan menjadi Mutlak secara automatik selepas tiga bulan,” kata hakim dalam penghakiman setebal 16 muka surat.

Akibatnya, Dekri Nisi akan kekal aktif selama hampir 25 tahun dan hanya dibuat secara mutlak pada Januari lalu, menerusi permohonan secara rasmi.

Hakim berkata, mahkamah menolak alasan bahawa lelaki itu tidak tahu atau terlupa untuk memfailkan Dekri Mutlak.

Mahkamah menegaskan, walaupun anak-anak hasil perkahwinan kedua tidak bersalah, namun proses undang-undang perlu dihormati dan tidak boleh diubah sesuka hati.

Selain itu beliau berkata, permintaan pemohon untuk menetapkan tarikh cerai kepada 8 Ogos 2000 juga tidak masuk akal kerana pada masa itu belum cukup tiga bulan selepas Dekri Nisi diberikan.

Jelas beliau, Dekri Nisi pada 19 Jun 2000 sepatutnya luput selepas tiga bulan, iaitu 18 September tahun sama.

"Justeru, mahkamah menolak permohonan tersebut dan mengekalkan tarikh Dekri Mutlak pada Januari tahun ini.

“Perkara berkenaan sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak, iaitu seseorang tidak patut tergesa-gesa untuk berkahwin semula tanpa terlebih dahulu memastikan semua dokumen berkaitan perceraian terdahulu telah diselesaikan dengan betul dan mengikut undang-undang,” katanya.

Mahkamah tidak mengenakan sebarang kos kepada mana-mana pihak.