SEREMBAN - Dua lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) milik individu lain tanpa kuasa yang sah.
Tertuduh, Lim Jiunn Liang, 28, dan Justine Chung Yin Wei, 25, yang merupakan ejen penghantar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati memiliki dan mengawal 90 kad akaun milik orang lain tanpa kebenaran sah.
Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta berhampiran CIMB Bank Jalan Dato Bandar Tunggal di sini pada 29 Julai 2025 jam 9.50 pagi.
Mereka ditangkap oleh sepasukan anggota Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan berdasarkan maklumat risikan Op Khas 35/25.
Turut dirampas dalam operasi itu sebuah kereta Honda City, 90 kad ATM pelbagai bank, enam unit telefon bimbit serta 22 keping wang kertas RM50
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama di Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ’Aqilah Syarfa Nik Zaidi, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun peguam bela, K Tharani, yang mewakili tertuduh memohon hukuman paling minimum atas alasan anak guamnya masih muda dan merupakan pesalah kali pertama
“Mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak polis serta telah mengaku salah, sekaligus menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Mereka juga kesal dengan perbuatan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas setiap tertuduh dan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.