KUALA LUMPUR – Tarif elektrik terbaharu serta penyelarasan subsidi menunjukkan harga elektrik dan minyak di negara ini kini semakin menurun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menegaskan, rakyat telah pun menerima bil elektrik masing-masing untuk bulan Julai yang disebut akan mengalami kenaikan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Menurutnya, hakikatnya dalam soal membabitkan kenaikan tarif elektrik, langkah itu hanya membabitkan pihak industri atau syarikat.
“Harga elektrik turun, harga minyak turun. Inilah keadaannya. (Walaupun) tarif elektrik naik, (tetapi) bayaran itu lebih rendah. Jika ada bayar lebih, saya tidak faham kerana purata penurunan adalah lapan hingga 14 peratus.
“Ahli Parlimen perlu jadi jurucakap rakyat, bukan jurucakap ‘tauke’. Kadar elektrik yang naik adalah untuk syarikat. Kalau ada di mana-mana seperti di (kampung) Felda secara khusus terbeban, kita cuba bantu,” katanya di sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) sama ada Kerajaan Madani telah menguruskan hutang negara dengan bertanggungjawab berikutan hutang naik kepada RM1,247.6 bilion pada hujung 2024.
Anwar berkata, ahli Parlimen sepatutnya menjadi jurucakap kepada rakyat dan bukannya mewakili ‘tauke’ dalam menyuarakan isu kepentingan rakyat.
Beliau turut menyelar sikap berat sebelah pembangkang kerana tidak membangkitkan kenaikan tarif air di negeri yang dipimpin mereka.
Menurutnya, kerajaan negeri termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu meminta menaikkan tarif kerana berdepan masalah seperti tunggakan hutang dan penambahbaikan infrastruktur.
“Kita tidak mahu melarang atau menyuruh, tiada halangan. Ini keputusan negeri kerana air adalah bidang kuasa negeri. Jadi kenapa (ada) ‘double standard’,” soalnya.
ENDS