UTTAR PRADESH – Suasana kecoh tercetus di daerah Gonda, India apabila ahli keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia akibat dipukul bertindak menjatuhkan mayat mangsa dari ambulans bagi menghalang lebuh raya sebagai tanda protes.
Kejadian berlaku pada Isnin ketika mayat mangsa, Hriday Lal, dibawa dengan ambulans ke hospital bagi tujuan bedah siasat.
Tindakan itu mengundang perhatian ramai apabila rakaman video tular memaparkan mayat tersebut diseret keluar sebelum diletakkan di atas jalan.
Difahamkan pada Jumaat lalu, mangsa dipukul dengan kejam manakala jari kakinya turut dihancurkan susulan pertikaian berhubung urusan jual beli arak.
Hriday Lal yang parah kemudian dibawa ke Lucknow untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital, hanya dua bulan selepas mendirikan rumah tangga.
Berita kematiannya mencetuskan kemarahan keluarga dan penduduk setempat.
Menurut saksi, sebaik mayat terjatuh di jalan, ahli keluarga bertindak duduk di tengah lebuh raya bagi menghalang kenderaan melalui kawasan tersebut.
Tidak lama kemudian, lebih ramai penduduk kampung datang menyertai tindakan protes sambil mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab.
Polis yang berada di lokasi kemudian mengalihkan mayat dari jalan dan memujuk ahli keluarga agar bertenang.
Upacara pengebumian mangsa dilaksanakan dengan kehadiran pihak polis bagi memastikan keadaan terkawal.
Pegawai Bulatan Gonda, Anand Kumar Rai memaklumkan, pihak polis telah menahan empat suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut dan telah memulakan proses undang-undang.