TEMERLOH - Seorang lelaki yang memiliki 44 rekod jenayah lampau berjaya ditahan polis selepas cuba melarikan diri dalam satu operasi di Jalan Tengku Ismail di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang menjalankan Op Cegah Jenayah kira-kira jam 10.35 pagi.
“Semasa rondaan, anggota terlibat ternampak sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan berhenti di hadapan sebuah premis.
"Apabila anggota memperkenalkan diri sebagai polis, suspek berusia 35 tahun itu bertindak agresif dan melarikan diri dengan memandu secara melulu sebelum terbabas di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan individu dikehendaki bagi dua kes lampau iaitu di Sitiawan di bawah Seksyen 43(4) Akta Penjara dan di Bentong di bawah Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam but kenderaan menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel seperti tali sawat, alat pembuka lubang pembetungan, besi cangkuk, tukul besi dan sarung tangan.
Katanya, turut ditemui sejumlah dadah iaitu 346 biji pil disyaki yaba dengan anggaran berat 34.87 gram dan satu peket ketulan kristal disyaki syabu seberat 3.03 gram.
"Turut dirampas, sebuah trak pikap berwarna hitam yang disyaki kenderaan curi berdasarkan semakan nombor casis dan enjin, dan disenarai hitam bersabit kes di Kota Bharu mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” tambahnya.
Jelasnya lagi, hasil siasatan, suspek turut mengaku terlibat dalam kes curi kabel di beberapa lokasi termasuk di Kuala Lumpur, Selangor, Jerantut dan Maran pada Februari lalu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(a)(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.
Sementara itu, dalam operasi sama, polis berjaya menahan dua individu sekali gus membawa penemuan pelbagai barangan termasuk air ketum dan pil disyaki dadah.
Mazlan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, anggota polis telah menahan kereta jenis Volkswagen Jetta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah premis.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya berusia 25 tahun, berada di dalam kenderaan terbabit.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dan suspek membawa kepada penemuan 81 biji pil disyaki yaba disimpan dalam plastik biru, dua botol cecair berwarna gelap disyaki air ketum, dua pengunci tali, pemotong kecil, satu gunting kecil serta beberapa peralatan lain,” katanya.
Menurutnya, semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan jenis Volkswagen itu tidak tersenarai dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala pemeriksaan nombor casis dan enjin mendapati tiada sebarang rekod pendaftaran rasmi.
Tambah beliau, keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39(a)(1) ADB 1952 dengan Seksyen 30(3) Akta Racun.
“Kita juga akan siasat adakah kes ini melakukan jenayah yang sama dengan kes membabitkan suspek lelaki berusia 35 tahun yang ditahan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail," tambahnya.