IPOH - Projek pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Bandar Meru Raya di sini telah mencapai kemajuan lebih 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.
Pusat terbesar di Asia Tenggara itu sebelum ini dijadualkan siap pada 1 Mei 2025, namun mengalami sedikit kelewatan disebabkan oleh pelbagai faktor teknikal termasuk pemasangan peralatan berteknologi tinggi.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, kerja-kerja struktur dan pemasangan dalaman kini sedang berjalan lancar dan dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi.
"Projek ini berada pada fasa penyediaan dalaman. Saya difahamkan hanya sekitar 20 peratus sahaja kerja masih berbaki termasuk pemasangan sistem robotik dan penyediaan akhir kemudahan.
"Kita jangka kerja pembinaan selesai tahun ini, namun hanya akan beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan setelah semua ujian sistem dan latihan petugas selesai dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Penyerahan Faedah Insurans Pekerjaan dan Mini Karnival Kerjaya MyFuturejobs di Wisma PERKESO Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Pengarah PERKESO Negeri, Khairul Mizan Md Said.
Sivanesan berkata, pusat rehabilitasi bernilai RM654 juta itu bakal menyediakan rawatan pemulihan menyeluruh secara holistik untuk pencarum PERKESO serta orang awam, khususnya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan sebahagian Selangor.
Katanya, lebih 500 peluang pekerjaan baharu juga akan diwujudkan di pusat tersebut terutama melibatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Projek ini memang canggih dan berprofil tinggi, malah mendapat perhatian istimewa daripada baginda Sultan Perak.
"Justeru, selepas projek fizikal siap, beberapa bulan diperlukan lagi untuk ujian, kalibrasi peralatan dan persiapan operasi sebelum dibuka sepenuhnya kepada orang awam," katanya.
Sementara itu, seramai 16 individu terdiri daripada pencarum dan waris menerima faedah serta bantuan daripada PERKESO mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) termasuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Antara penerima ialah waris kepada Allahyarham Mohd Hairol Md Naiaman, 49, pencarum SKSPS yang ditemui tidak sedarkan diri di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menghantar penumpang dan telah disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang, Kajang, Selangor pada 3 November lalu.
Faedah dan bantuan turut diserahkan kepada waris Rohani Mohd Yusoff, 51, ibu tunggal dan pencarum SKSSR yang meninggal dunia akibat kanser sarcoma pada 1 Januari lalu.
Pemergian Allahyarham memberi kesan besar kepada empat anak-anaknya, namun berkat caruman SKSSR waris yang ditinggalkan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) serta Pencen Penakat secara bulanan untuk membantu meneruskan kehidupan.