Guna helah pukau larikan wang pelancong

Iklan
Lima suspek dari Timur Tengah dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

GEORGE TOWN – Tindakan licik lima individu termasuk dua wanita warga asing dari Timur Tengah yang dipercayai terlibat dalam jenayah menggunakan ilmu pukau, akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan polis pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut dalam Op Tourist yang dijalankan di kawasan tumpuan Gurney Plaza di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 35 tahun, dipercayai terlibat dalam tiga kes kecurian wang tunai yang dilaporkan sejak Khamis lalu.

Lima individu termasuk dua wanita Timur Tengah ditahan dalam Op Tourist selepas disyaki curi duit pelancong di Pulau Pinang.

Iklan

“Terdapat tiga laporan diterima melibatkan kejadian curi wang tunai oleh pelancong yang berlaku di kawasan Pulau Tikus dan Jalan Penang pada 30 Julai dan 1 Ogos lalu.

“Mangsa terdiri daripada pelancong warga Taiwan, Belanda dan Syria berusia lingkungan 29 hingga 52 tahun.

Iklan

“Hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan ini ialah dengan menyasarkan pelancong luar negara. Mereka mengajak mangsa berbual dan semasa perbualan berlangsung, mangsa diminta menunjukkan wang tunai sebelum menyedari wang itu hilang sebaik suspek beredar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Alwi berkata, semasa tangkapan dilakukan, polis turut menemui pelbagai mata wang asing serta merampas dua buah kenderaan dan sepeket dadah jenis ganja daripada kumpulan berkenaan.

Jelasnya, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis THC.

Kesemua yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai, khususnya pelancong asing, agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket licik seperti ini.