Kes kebakaran terbuka di Perak melonjak 40 peratus

Iklan
Perak mencatatkan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka sejak bermulanya musim panas pada Mei lalu dengan 644 kes direkodkan sehingga Julai. Gambar hiasan (Gambar kecil: Sabarodzi)

IPOH - Jumlah kes kebakaran terbuka di Perak mencatatkan peningkatan mendadak sejak bermulanya musim panas pada Mei lalu dengan 644 kes direkodkan sehingga Julai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, peningkatan lebih 40 peratus berbanding 449 kes pada tahun lalu itu sangat membimbangkan.

Iklan
Iklan

"Peningkatan kes berlaku susulan keadaan cuaca yang terlalu panas serta taburan hujan yang semakin berkurangan.

"Kita menjangkakan risiko kebakaran akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.

Iklan

"Ini berdasarkan maklumat semasa daripada Jabatan Meteorologi dan peta titik panas (hotspot) yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, jenis kebakaran yang paling banyak direkodkan ialah kebakaran belukar dan lalang dengan 445 kes, diikuti kebakaran sampah (107 kes), kebakaran hutan (55 kes) serta kebun dan ladang (37 kes).

Iklan

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi termasuklah tapak pelupusan sampah, ladang sawit, hutan empangan dan hutan bukit.

"Kebanyakan kebakaran terbuka berpunca daripada pembakaran sisa pertanian dan sampah secara terbuka, terutama melibatkan lalang dan kebun sawit.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang puntung rokok sembarangan juga menjadi pencetus kebakaran besar jika tiada pemantauan. Selain itu, faktor semula jadi seperti tumbuhan tertentu di kawasan gunung yang mudah terbakar turut menyumbang," katanya.

Sabarodzi berkata, dalam kes-kes kebakaran terbuka, unsur pembakaran sengaja boleh dikesan bergantung kepada siasatan terperinci oleh pihak bomba, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis.

Katanya, antara petunjuk wujudnya unsur tersebut termasuk saksi yang melihat api dinyalakan, penemuan bahan mudah terbakar seperti petrol, serta kejadian kebakaran yang berlaku pada waktu mencurigakan seperti tengah malam atau serentak di beberapa lokasi.

“Ada juga kes apabila kenderaan dibakar secara sengaja, kemudian api merebak ke belukar berhampiran hingga menyebabkan hutan turut terbakar,” jelasnya.

Tambahnya, antara kejadian yang memerlukan operasi besar-besaran termasuk kebakaran di tapak pelupusan Bukit Teluk Mengkudu, Segari pada 14 Mei lalu yang melibatkan kawasan seluas 2.83 hektar (tujuh ekar) dan mengambil masa lima hari untuk dipadamkan sepenuhnya.

"Masalah utama di lokasi itu ialah tiada sumber air berhampiran, jadi kita terpaksa bina ‘water dam’ sebagai alternatif. Keadaan timbunan sampah yang tinggi turut menyukarkan pergerakan anggota dan jentera," katanya.

Satu lagi kejadian signifikan melibatkan kebakaran longgokan hampas sawit di Kampung Kati, Kuala Kangsar pada 22 Februari lalu.

Operasi pemadaman selama dua hari terpaksa dilakukan menggunakan pam mudah alih dan kenderaan pacuan empat roda kerana jentera besar tidak dapat memasuki kawasan terbabit.

"Kesediaan jabatan dalam menangani bencana seperti ini berada pada tahap yang tinggi.

"Seperti yang pernah berlaku pada tahun 2014 dahulu, di mana berlaku kebakaran hutan di Gerik melibatkan keluasan yang besar serta cuaca kering tanpa hujan dalam tempoh tiga bulan.

"Banyak agensi dan negeri yang membantu serta akhirnya bantuan ketenteraan turut terlibat dalam melaksanakan operasi pemadaman, dan akhirnya kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya.