LIMA – Seorang nenek di Peru mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila membawa cucunya ke pantai semasa amaran tsunami sedang berkuat kuasa, lapor Daily Mail.
Insiden itu berlaku di Chorrillos, sebuah kawasan pesisir di Lima, selepas gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 melanda perairan Semenanjung Kamchatka, Rusia pada 29 Julai lalu.
Wanita berkenaan memaklumkan bahawa beliau mengetahui tentang amaran tersebut selepas menonton berita tempatan pada pagi Rabu, namun tetap nekad ke pantai untuk melihat sendiri fenomena alam itu.
“Saya nak tengok sesuatu sebab saya tak pernah lihat tsunami.
“Saya juga bawa cucu saya supaya dia boleh lihat dan belajar,” katanya ketika ditemu bual oleh wartawan Latina Noticias.
Lebih mengejutkan, ketika orang ramai menjauhi pantai kerana bimbang risiko ombak besar, wanita itu sebaliknya berlari ke arah laut bersama cucunya tanpa sebarang rasa takut.
Ketika ditanya sama ada beliau berasa cemas, nenek tersebut dilihat seolah-olah memperkecilkan risiko bencana dan menganggap situasi itu tidak serius.
Tindakannya mencetuskan pelbagai reaksi selepas rakaman video temu bual itu tular di media sosial pada 31 Julai lalu.
Rata-rata pelayar laman sosial berkenaan menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak tersebut, malah mengkritik sikap sambil lewa wanita itu yang boleh membahayakan nyawa.
Pihak berkuasa sebelum itu telah mengeluarkan amaran tsunami dan menasihatkan penduduk supaya menjauhi pantai serta kawasan rendah sebagai langkah berjaga-jaga.