KERAJAAN Perpaduan Madani membuktikan keprihatinan mendalam terhadap warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) apabila menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bersasar merangkumi aspek kewangan, infrastruktur, kesihatan dan ekonomi desa.
Terkini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM100,000 kepada setiap kampung Felda menerusi inisiatif Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi membolehkan masyarakat Felda melaksanakan projek pembangunan komuniti.
Pengumuman itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri ketika merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Sabtu.
Langkah ini secara langsung menyediakan platform untuk peneroka mengurus sendiri bentuk projek ekonomi tempatan yang ingin dijalankan seperti pertanian moden, keusahawanan wanita, kraftangan serta aktiviti lain sekali gus memberi nilai tambah kepada sumber pendapatan isi rumah.
Peruntukan itu juga dilihat sebagai bantuan berskala besar yang memberi ruang kepada warga Felda mencorakkan kemajuan mereka mengikut keperluan setempat, dengan penglibatan langsung masyarakat.
Apa yang membezakan pendekatan Madani ini ialah keutamaan diberikan kepada desentralisasi dan pemilikan komuniti, di mana penduduk sendiri mencadangkan dan merancang bentuk projek yang sesuai bukan lagi keputusan sepihak oleh kerajaan pusat.
Sebelum ini kerajaan turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan kesihatan peneroka, termasuk membina 13 buah pusat hemodialisis khas di seluruh Wilayah Felda bernilai RM21 juta.
Inisiatif ini penting kerana ramai dalam kalangan peneroka merupakan warga emas yang memerlukan rawatan berterusan. Dengan adanya pusat dialisis di dalam kawasan rancangan, kos perjalanan dan risiko kesihatan dapat dikurangkan secara signifikan.
Selain itu sejak Julai 2021, Kerajaan Madani meneruskan komitmen menyelesaikan masalah lampu jalan dan bekalan asas di kawasan Felda, apabila memperuntukkan RM128 juta bagi pembekalan tenaga dan rawatan air bersih kepada kawasan Felda di Sabah termasuk Kompleks Sahabat,Umas dan Kalabakan.
Kerajaan turut meluluskan RM7.7 juta setahun untuk menyelenggara 37,012 unit lampu jalan di kawasan Felda seluruh negara yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan warga desa.
Sebelum ini, pada sambutan Hari Peneroka Felda tahun lalu juga , kerajaan telah mengumumkan subsidi diesel tambahan berjumlah RM100 juta, khusus kepada kenderaan dan mesin peneroka yang tidak layak menerima subsidi biasa, membantu meringankan beban operasi ladang mereka.
Dari sudut penstrukturan hutang, inisiatif Kerajaan Madani telah melupuskan sebahagian besar hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan jangka panjang dan penstrukturan semula kewangan Felda.
Kerajaan juga telah memperkenalkan bantuan khas RM300 kepada peneroka warga emas berusia 65 tahun ke atas, melibatkan lebih 70,715 penerima, sebagai tanda penghargaan kepada generasi terdahulu yang membangunkan tanah rancangan sejak tahun-tahun awal kemerdekaan.
Dari segi digitalisasi dan pemerkasaan belia, Felda kini menjadi tumpuan pelaksanaan program Digital MADANI, yang menyediakan akses kepada latihan digital dan keusahawanan melalui kerjasama dengan MDEC serta pewujudan pusat PEDi (Pusat Ekonomi Digital) di tanah rancangan terpilih.
Dalam usaha memperkukuh masa depan generasi baharu, kerajaan juga memberi komitmen menyelesaikan projek perumahan PGBF (Perumahan Generasi Baharu Felda) yang tertangguh sejak sekian lama, dengan kerja-kerja pembaikan dan penyambungan dimulakan semula bagi unit-unit terbengkalai.
Keseluruhan pendekatan kerajaan Madani terhadap Felda adalah bersifat holistik tidak hanya menumpukan kepada isu hutang dan tanaman semata-mata, tetapi merangkumi struktur ekonomi, sosial, kesihatan dan teknologi, sejajar prinsip pembangunan mampan.
Lebih penting, semua bantuan ini dibuat dengan pendekatan berunding, telus dan tanpa campur tangan politik sempit mencerminkan transformasi budaya pentadbiran baharu yang lebih mesra rakyat.
Apa yang jelas, Felda bukan lagi dianggap sekadar kelompok warisan sejarah, sebaliknya kini dilihat sebagai aset strategik negara dalam membina ekosistem luar bandar yang dinamik dan sejahtera.
Keprihatinan tinggi yang ditunjukkan oleh kerajaan Madani, masa depan peneroka dan generasi baharu Felda dilihat semakin cerah, bebas daripada belenggu hutang dan ketidaktentuan masa lalu.
Seperti disebut Perdana Menteri, usaha ini adalah tanda penghargaan negara kepada peneroka yang telah menyumbang kepada pembangunan negara sejak lebih enam dekad lalu dan kerajaan kini membalasnya dengan tindakan, bukan sekadar janji.
Jika usaha ini konsisten dan terus diperluas, Felda bakal menjadi model transformasi luar bandar yang boleh dicontohi oleh negara-negara membangun lain.