RIAU – Hanya kerana menegur rakan supaya bergilir menyanyi ketika berkaraoke, seorang lelaki maut ditikam dalam kejadian di sebuah kedai di daerah Panei, Kabupaten Simalungun, Indonesia.
Mangsa, Herman Syahputra, 39, dipercayai ditikam oleh rakannya, Zulkarnain Sinaga, 37, selepas berlaku pertengkaran berkaitan giliran menyanyi.
Ketua Polis Simalungun, AKBP Marganda Aritonang berkata, kejadian pada Ogos lalu berlaku ketika kedua-dua rakan berkaraoke sambil minum di kedai milik penduduk tempatan.
“Suspek sedang menyanyi beberapa lagu menggunakan mikrofon dan pembesar suara mudah alih.
"Mangsa kemudian menegur secara baik agar mereka bergilir menyanyi dan memberi peluang kepada orang lain.
“Namun suspek dipercayai berang dengan teguran itu sebelum berlaku pertengkaran mulut dan pergaduhan fizikal,” katanya pada Sabtu.
Zulkarnain yang membawa sebilah pisau dikatakan menikam perut Herman hingga menyebabkan kecederaan parah.
Orang awam yang berada di lokasi cuba menyelamatkan mangsa dengan membawanya ke hospital, namun dia disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.
Menurut polis, suspek melarikan diri sejurus kejadian dan bersembunyi hampir setahun sebelum diberkas di Pasar Pekan Senin, Kampung Bunga Raya, Kabupaten Siak, kira-kira jam 1 tengah hari waktu tempatan pada 21 Julai lalu.
“Berdasarkan maklumat yang diterima pada Jun lalu, pasukan kami dengan kerjasama polis tempatan serta keluarga mangsa menjalankan siasatan dan mengesan lokasi persembunyian suspek.
“Maklumat orang dikehendaki (DPO) dan gambar suspek turut diedarkan sebelum dia berjaya ditahan ketika berada di pasar,” ujar Marganda.
Zulkarnain kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Simalungun bagi membantu siasatan lanjut.
Mangsa yang merupakan penduduk daerah Panei meninggalkan seorang balu dan dua anak masing-masing berusia 10 dan 5 tahun.-Agensi