DUNIA kini berdepan gelombang haba ekstrem yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan mencetuskan amaran kecemasan kesihatan awam global, khususnya di Eropah dan Asia.
Kajian oleh Imperial College London dan London School of Hygiene mendedahkan sebanyak 2,300 kematian dilaporkan dalam tempoh 10 hari gelombang haba yang melanda benua Eropah pada Julai 2025, dengan 1,500 daripadanya disahkan berkait langsung dengan kesan pemanasan global.
Negara seperti Portugal, Sepanyol, Itali dan Perancis mencatat suhu luar biasa tinggi, dengan Portugal merekodkan suhu maksimum 46.6 darjah Celsius. Bandar-bandar utama seperti Milan, Barcelona dan Paris menjadi antara lokasi paling terjejas.
Di Perancis, lebih 200 sekolah diarahkan tutup berikutan suhu terlalu panas, manakala di selatan Sepanyol, suhu permukaan laut dilaporkan melebihi 30 darjah Celsius, menjejaskan ekosistem laut dan industri perikanan.
Situasi di Asia turut membimbangkan
Jepun merekodkan lebih 10,800 kes kemasukan ke hospital dan 16 kematian akibat strok haba, dengan suhu mencecah 41.2 darjah Celsius di wilayah Hyogo, tertinggi sejak 147 tahun lalu.
Korea Selatan pula mencatat fenomena 'malam tropika' berterusan selama 22 malam, apabila suhu minimum tidak pernah turun bawah 25 darjah Celsius, termasuk catatan suhu malam mencecah 29.3 darjah celcius di ibu negara Seoul.
Sementara itu, India dan Pakistan mula berdepan gelombang haba sejak April lalu, dengan suhu melebihi 48 darjah Celsius di beberapa wilayah. Penduduk di kawasan luar bandar berdepan krisis air, gangguan elektrik dan kehabisan bekalan ubat.
Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) menjangkakan tahun 2025 bakal menjadi antara tiga tahun paling panas pernah direkodkan, dengan suhu purata global sudah melebihi 1.5 darjah Celsius berbanding zaman pra-industri.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengklasifikasikan gelombang haba sebagai krisis kesihatan awam yang semakin meruncing, susulan peningkatan kes strok haba, serangan jantung, kegagalan organ dan kematian mengejut.
Kajian WHO mendapati peningkatan satu darjah Celsius suhu luar biasa mampu meningkatkan risiko kematian golongan warga emas dan pesakit kronik antara lima hingga sepuluh peratus, khususnya di kawasan bandar padat.
Sektor pertanian turut mengalami kesan langsung. Tanaman rosak, bekalan makanan berkurang dan harga hasil tani meningkat. Banyak ladang ternakan di Eropah dan India kehabisan sumber air dan makanan haiwan.
Dalam masa sama, permintaan tinggi terhadap penghawa dingin dan alat penyejuk menyebabkan gangguan bekalan tenaga di beberapa bandar besar, termasuk di China, Amerika Syarikat dan sebahagian negara Eropah.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menjangkakan gelombang haba akan menjadi lima kali ganda lebih kerap dan dua kali lebih lama menjelang 2050 sekiranya pelepasan karbon terus tidak dikawal.
Fenomena ini bukan lagi dianggap cuaca luar biasa, sebaliknya merupakan petunjuk nyata bahawa krisis iklim sedang berlaku hasil daripada pembakaran bahan api fosil, penebangan hutan dan pembangunan bandar tidak mampan.
Malaysia mungkin belum mengalami kesan seteruk Eropah atau Asia Selatan, namun statistik menunjukkan suhu purata di negara ini meningkat antara 0.17 hingga 0.25 darjah Celsius setiap tahun sejak dua dekad lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan gelombang haba bagi tempoh Julai dan Ogos 2025.
Walau bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 2 Ogos memaklumkan bahawa sebanyak 10 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kini berada pada status cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) susulan suhu harian maksimum yang mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Malaysia juga perlu mempercepat peralihan kepada pelan perbandaran rendah karbon, memperbanyakkan ruang hijau dan membina infrastruktur yang lebih tahan terhadap kejutan iklim.
Di peringkat global, negara pengeluar karbon utama wajar memikul tanggungjawab lebih besar bagi memastikan komitmen Perjanjian Paris 2015 tercapai, termasuk pengurangan pelepasan karbon secara menyeluruh dan menyokong teknologi tenaga bersih.
Gelombang haba ekstrem 2025 menjadi amaran terakhir bahawa dunia perlu berubah. Ia bukan hanya isu persekitaran, tetapi isu kelangsungan hidup manusia.