Perang hampir tercetus kerana babi

Iklan
Ada beberapa insiden yang remeh dan kecil sahaja tetapi boleh menyebabkan perang hampir meletus.

SEJARAH telah tercatat, ada beberapa insiden yang remeh dan kecil sahaja tetapi boleh menyebabkan perang hampir meletus. Dalam dunia moden kalau tidak berlaku perang, ia sekurang-kurangnya boleh mencetuskan krisis diplomatik dan menggugat geopolitik.

Pada 1859, Perang Babi tercetus antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan British di Pulau San Juan. Pulau tersebut terletak di antara Vancouver (Kanada) dan Washington (AS). Wilayah berkenaan menjadi rebutan antara British dan pendatang AS.

Iklan
Iklan

Pada suatu hari, seorang petani AS, Lyman Cutlar menembak seekor babi milik seorang pekerja British, Charles Griffin kerana babi itu sering menceroboh ladangnya dan makan kentang. Griffin menuntut pampasan tetapi Cutlar enggan bayar.

Ekoran itu, tentera British dan AS dikerah ke pulau tersebut, dan kedua-dua pihak mendirikan kubu. Komander AS diarahkan untuk tidak tembak dahulu tetapi bertidak balas jika diserang.

Iklan

Bagaimanapun, tiada tembakan dilepaskan. Ketegangan tersebut berlarutan selama 12 tahun dengan kehadiran tentera kedua-dua pihak di pulau kecil itu tanpa sebarang pertempuran. Akhirnya, krisis berkenaan diselesaikan melalui timbang tara antarabangsa oleh Kaiser Wilhelm I dari Jerman, yang memutuskan pulau tersebut milik AS.

Pada 2004, berlaku krisis Sandwich Cyprus antara Turki dan Kesatuan Eropah (EU). Cyprus menuntut hak eksklusif untuk menjenamakan keju tradisional mereka sebagai ‘halloumi’ di EU, sementara Turki dan Cyprus Utara menuntut hak yang sama, menyebutnya ‘hellim’.

Iklan

Perkara tersebut mencetuskan perbalahan hak niaga dan pengiktirafan diplomatik, malah menghalang kemajuan perbincangan penyatuan Cyprus.

Pada 2021, berlaku krisis melibatkan selebriti AS, Rihanna dengan kerajaan India. Rihanna menghantar satu hantaran di Twitter (kini dikenali sebagai X) bertanya – Why aren’t we talking about this? merujuk kepada protes petani India.

Tweet itu memicu kemarahan besar kerajaan India yang menyifatkan ia sebagai campur tangan asing. Kesan daripada kejadian tersebut, duta selebriti Bollywood dipaksa menyokong kerajaan dan kempen balas besar-besaran oleh kerajaan India

Pada 2020 pula berlaku krisis apabila Taiwan melancarkan pasport baharu yang menonjolkan nama Taiwan lebih besar dan mengecilkan nama Republik China.

China melihatnya sebagai langkah memperkuat identiti negara merdeka. Ekoran itu, China menekan negara lain untuk tidak menerima pasport tersebut. Negara seperti Filipina dan Singapura terpaksa buat semakan imigresen khas.

Krisis pisang pula berlaku pada 1993–2009 antara EU dengan negara bekas jajahan. Apa yang berlaku ialah EU memberi keutamaan kepada bekas jajahan Eropah iaitu Caribbean untuk mengeksport pisang.

Namun, AS membantah kerana firma Amerika Latin seperti Chiquita dirugikan. AS bawa kes ke Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) dan ia mencetuskan perang tarif kecil antara EU dan AS. Isu itu menjadikan pisang sebagai senjata dalam perang per-dagangan tersebut.

Sementara di Malaysia baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari telah memuat naik karikatur seolah-olah menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mendapat kecaman apabila menyiarkan di media sosialnya satu kartun yang menggambarkan seekor kambing dan biri-biri sedang berebut pisang, dengan seekor monyet bertindak sebagai hakim. Beliau enggan memohon maaf dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis, selain mahu menyaman beberapa ahli politik.

Tetapi mujurlah perbuatan itu tidak sampai menjerumuskan Malaysia ke dalam krisis diplomatik atau perang. Alhamdulillah, Kemboja dan Thailand telah bersetuju untuk melakukan gencatan senjata bagi mengelak lebih ramai nyawa terkorban.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian