'Beras import lebih baik, tahan lebih lama'

Iklan
Beras import menjadi pilihan orang ramai yang membeli di kedai Fauziah. Gambar kecil dari kiri: Fauziah, Ramli, Siti Norain, Idayu

IPOH – Jualan beras tempatan kini kurang mendapat sambutan berbanding beras import yang semakin menjadi pilihan pengguna berikutan faktor harga dan kualiti.

Perkara itu diakui pemborong, Fauziah Mohamad Arib yang memaklumkan orang ramai lebih cenderung membeli beras import berbanding beras tempatan.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, beras import kini dijual dengan harga sekitar RM30 hingga RM31 bagi 10 kilogram tidak jauh beza dengan harga beras tempatan sekitar RM26 bagi jumlah sama.

“Stok beras tempatan saya ambil 100 kampit sekali hantar, dua bulan lepas dalam tiga hingga empat kali hantar, tapi bulan ini masuk minggu kedua pun tak habis lagi.

Iklan

“Tapi beras import masih jalan macam biasa. 200 kampit sekali hantar, sebulan boleh sampai empat kali hantar. Kita boleh jual 400 hingga 500 kampit sebulan, termasuk kepada peniaga,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, dari segi kualiti pula, beras import lebih baik dan tahan lebih lama manakala beras tempatan biasanya tahan sekitar satu hingga dua minggu jika tidak segera dijual.

Iklan

Katanya lagi, walaupun bekalan beras tempatan tidak pernah putus, beliau memilih untuk tidak mengambil stok dalam jumlah besar selagi stok sedia ada belum habis.

Sementara itu, suri rumah, Siti Norain Usop, 35, masih memilih untuk membeli beras tempatan walaupun beras import dikatakan lebih berkualiti.

“Sebagai golongan B40, saya lebih utamakan harga lebih murah. Memang ada beza dari segi tekstur dan kualiti, tapi beras tempatan tetap jadi pilihan sebab lebih mampu beli.

“Saya harap beras tempatan kekal di pasaran walaupun kurang sambutan. Kita perlu bantu petani tempatan dan kurangkan kebergantungan kepada beras luar,” katanya.

Seorang pengguna, Ramli Ahmad Rozali turut mengakui kualiti beras import berbanding beras tempatan memandangkan harganya yang juga berbeza.

Katanya, bagi memastikan beras tempatan menjadi pilihan, pastikan kandungan beras hancur rendah selain meningkatkan kualiti produk buatan tempatan itu.

Biarpun begitu, pesara guru itu memilih untuk membeli beras tempatan disebabkan harga yang lebih murah.

Sementara itu di JOHOR BAHRU hasil tinjauan juga mendapati situasi sama turut berlaku.

Seorang peniaga kedai runcit, Shafeer, 40, berkata, pengunjung kedainya lebih cenderung memilih beras import berbanding beras tempatan.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat daripada jumlah kampit beras tempatan yang masih banyak berbanding beras import yang adakalanya habis dijual di kedainya.

“Di kedai kami ada menjual beras import dan beras tempatan tetapi beras import selalu jadi pilihan orang ramai dan bukannya beras tempatan.

“Pernah juga ada pelanggan datang beli beras import lebih satu kampit. Dia beli tiga,” katanya.

Peniaga kecil, Idayu Ehsan, 28, berkata, dia memilih membeli beras import berbanding beras tempatan.

Katanya, selain faktor harga berpatutan, dia juga memilih beras import yang disifatkannya lebih tahan lama berbanding beras tempatan.

“Saya sekeluarga memang jarang beli beras tempatan dan selalu beli beras import.

“Ini kerana saya dapati beras import ini tidak mudah nasi, kalau beras tempatan, masak pagi petang dah basi,” katanya.

Pada Khamis, media melaporkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh memaklumkan bahawa keadaan lambakan beras putih tempatan berpotensi menjejaskan jualan barangan tersebut dalam pasaran negara ini.

Ujarnya, situasi tersebut turut menyebabkan permintaan terhadap beras berkenaan menurun di kebanyakan kawasan termasuk di pasar raya dan program Jualan Rahmah Madani.