Tarif: Malaysia berjaya pertahan beberapa 'garis merah'

Iklan
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bercakap pada sidang akhbar berkaitan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) di Menara MITI hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia berjaya mempertahankan beberapa ‘garis merah’ dalam rundingan tarif bersama Amerika Syarikat (AS), yang membawa kepada pengumuman kadar 19 peratus bagi Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak berkompromi dan telah menolak beberapa permintaan AS dalam memastikan industri domestik dilindungi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini termasuk penghapusan duti eksais bagi automotif dan tembakau, pengecualian menyeluruh daripada keperluan pelesenan import untuk produk AS, liberalisasi sepenuhnya bagi syarat ekuiti untuk sektor strategik negara dan hak keistimewaan Bumiputera.

“Mereka meminta kita menghapuskan duti eksais, duti ini dikenakan kepada tiga item iaitu kereta, tembakau dan minuman keras.

Iklan

“Industri automotif penting bagi AS, namun kita juga punya industri automotif, kita menggaji 700,000 pekerja dalam sektor ini dan kita juga punya kereta nasional dan rantaian bekalan yang pelbagai.

“Dalam industri lain kita tidak ada duti eksais dan semua ini bagi mereka tidak adil, namun negara-negara (pengeksport) lain turut berdepan situasi sama. Kita ada polisi sendiri bagi memastikan kita terus kekal kompetitif.

Iklan

“Buat masa ini, saya rasa kita belum bersedia lagi untuk menghapuskan halangan tersebut.

"Begitu juga dengan pegangan ekuiti dalam sektor strategik, serta beberapa permintaan mereka untuk mengkaji semula undang-undang pada platform digital,” katanya pada Sidang Media Berkaitan Tarif AS, di sini pada Jumaat.

Tengku Zafrul menambah, rundingan akan terus dijalankan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh kedudukan perdagangan Malaysia sambil melindungi industri tempatan.

"Kami memastikan bahawa dasar-dasar utama negara tidak terjejas, khususnya yang melibatkan kedaulatan dan kepentingan nasional," katanya.

Ujarnya, dari segi ekonomi dan keselamatan negara, MITI telah mengetatkan pengeluaran Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) Sejak 6 Mei untuk menangani pemindahan penghantaran dan pengisytiharan tempasal palsu.

"Kini, MITI ialah pengeluar tunggal NPCO untuk eksport ke AS.

"Kami juga telah mengukuhkan kawalan ke atas eksport cip Kecerdasan Buatan (AI) dari AS. Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010.

"Dari segi sektor mineral kritikal, kami komited untuk tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas eksport unsur nadir bumi atau mineral kritikal," katanya.