500 liter ammonia tumpah di kilang

Iklan
Tumpahan bahan kimia jenis amonia dilaporkan berlaku di sebuah premis perindustrian di Taman Pelangi pada pagi Jumaat dan kawasan kilang berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan.

PERAI – [DIKEMAS KINI] Tumpahan bahan kimia jenis ammonia dilaporkan berlaku di sebuah premis perindustrian di Taman Pelangi di sini, pagi Jumaat, namun tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.59 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan BBP Sungai Bakap tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.

Iklan
Iklan

"Kejadian berlaku di premis Chong Tatt Enterprise, Lorong Perusahaan Maju 11 dan melibatkan kebocoran sebanyak 500 liter bahan kimia jenis ammonia.

"Kita dimaklumkan bahawa syarikat terbabit telah mengambil tindakan awal dengan meneutralkan kebocoran tersebut sebelum ketibaan bomba," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) turut digerakkan ke lokasi.

"Selepas membuat penilaian awal, bacaan keasidan (pH) yang diperoleh adalah pH 4. Kami kemudian mengarahkan syarikat tersebut untuk membuat sekatan bagi menghalang pengaliran bahan kimia itu.

Iklan

“Kerja-kerja nyahcemar dijalankan menggunakan serbuk ‘soda ash’ dan bacaan pH diambil semula bagi memastikan kawasan benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.25 petang,” katanya.

Operasi melibatkan seramai 19 anggota termasuk pegawai penyelia serta empat jentera.

Tiada agensi lain dilaporkan terlibat dalam operasi tersebut.