Tarif 19 peratus: Persatuan PKS gesa kaji semula SST

Iklan
Persatuan PKS menggesa kerajaan mengkaji semula pengenaan kadar SST serta pelan strategik perdagangan susulan kebimbangan implikasi pengenaan kadar tarif 19 peratus oleh AS.

SHAH ALAM – Persatuan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan berganda yang kini membelenggu kelompok PKS susulan kadar tarif 19 peratus dikenakan ke atas eksport Malaysia oleh Amerika Syarikat selain peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam negara.

Presidennya, Dr Chin Chee Seong berkata, situasi semasa memberi impak besar terhadap keuntungan serta kelangsungan jangka panjang PKS terutama dalam suasana ekonomi yang belum benar-benar stabil pasca pandemik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, peningkatan kos menjalankan perniagaan semakin membimbangkan apabila daya saing harga eksport semakin terjejas.

Tambahnya, hal demikian terutamanya melibatkan produk elektronik, barangan getah dan peralatan perubatan yang merupakan antara eksport utama sektor PKS ke pasaran antarabangsa.

Iklan

Dalam masa yang sama, Chee Seong menjelaskan peluasan pelaksanaan SST di peringkat domestik telah meningkatkan beban operasi melibatkan sektor pembuatan, penyewaan, logistik dan perkhidmatan tanpa adanya mekanisme kredit cukai input yang boleh mengelakkan cukai berlapis dalam rantaian bekalan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera mengkaji semula dan menstrukturkan kembali sistem SST, termasuk memperkenalkan pengecualian cukai bagi transaksi perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang melibatkan pengilang berlesen serta penyedia perkhidmatan penting.

Iklan

“Struktur SST sedia ada bukan sahaja memberi tekanan tambahan, malah menyukarkan pertumbuhan formal dalam sektor.

"Ini kerana wujud ketelusan yang rendah dan kos berganda yang tidak produktif,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Chee Seong berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam bentuk yang lebih mesra perniagaan dengan kredit cukai input, ambang pendaftaran yang adil serta mekanisme bayaran balik yang cekap dan telus.

"Usaha memperkukuh daya saing eksport PKS juga memerlukan sokongan dana tambahan, khususnya bagi membantu sektor berpotensi tinggi seperti industri halal dan pasaran strategik yang mencabar seperti China dan Timur Tengah.

“Program promosi eksport yang dirancang perlu disertakan dengan pelan tindakan yang jelas merangkumi jangka pendek, sederhana dan panjang, serta bimbingan menyeluruh kepada para usahawan,” ujarnya.

Chee Seong turut menekankan keperluan memperluaskan akses kepada kemudahan kewangan seperti skim pinjaman mudah, geran pendigitalan dan panduan pematuhan perdagangan termasuk proses kelulusan bantuan kewangan yang lebih cepat dan efisien.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan platform libat urus tetap antara pihak industri dan pembuat dasar bagi memastikan penyelesaian yang praktikal dan berasaskan maklum balas langsung daripada lapangan.

“PKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, namun kini berdepan cabaran yang semakin getir bukan sahaja akibat persaingan global, tetapi juga kerana kemasukan syarikat asing yang perlahan-lahan menembusi pasaran tempatan.

"Tanpa reformasi cukai yang menyeluruh dan pelan eksport yang strategik serta terancang, ramai usahawan PKS akan terus bergelut untuk bertahan apatah lagi untuk berkembang dalam landskap perniagaan yang kian mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan PKS Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan demi memastikan kewujudan ekosistem yang kondusif bagi PKS untuk berinovasi, berdaya saing dan menembusi pasaran global.