Sinergi pendekatan naqli, aqli cegah buli

Iklan
BULI bukan sekadar masalah disiplin, tetapi merupakan ancaman tersembunyi yang berpotensi menghancurkan masa depan generasi muda. -Foto: CANVA/ Gambar kecil: Dari kiri, DR NORMAN, DR HASHIM & ALIFAH

Perbuatan ‘mendera’ di asrama ancaman tersembunyi dalam kecemerlangan akademik

KEPUTUSAN cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) membuktikan bahawa persekitaran yang menyokong dapat memperkasa prestasi akademik pelajar.

Namun, insiden buli yang berlaku di MRSM Nibong Tebal, Pulau Pinang pada April lalu di mana sekumpulan pelajar bertindak agresif terhadap seorang rakan asrama, membangkitkan persoalan mengenai keselamatan pelajar.

Iklan
Iklan

Kejadian yang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu menunjukkan betapa seriusnya kesan buli terhadap kesejahteraan fizikal dan mental mangsa.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menekankan pentingnya persekitaran selamat dan kondusif dalam pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Iklan

Terbaharu, tragedi menyayat hati melibatkan pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir yang didakwa jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah agama di Sabah pada 16 Julai lalu. Kes ini dikaitkan dengan insiden buli, namun kejadian sebenar masih belum terungkai.

Jika benar maka ini bukti nyata betapa seriusnya kesan ‘penderaan’ itu hingga menjadi ancaman besar kepada keselamatan pelajar.

Iklan

PENDEKATAN bersepadu yang menggabungkan unsur naqli (berteraskan agama) dan aqli (pemikiran rasional) perlu diberi keutamaan dalam membanteras budaya buli. -Foto: CANVA

Lestari pula mendefinisikan buli sebagai tingkah laku agresif berulang yang melibatkan ketidakseimbangan kuasa, manakala Waasdorp dan Bradshaw menekankan kemunculan buli dalam bentuk siber sebagai satu cabaran baharu.

Trauma psikologi

Kajian mendapati bahawa sikap ego, dendam, keseronokan, pengaruh rakan sebaya dan konflik keluarga menjadi faktor utama buli di sekolah.

Bentuknya kini semakin pelbagai merangkumi fizikal, lisan dan siber. Penghinaan terhadap fizikal individu seperti mengejek berat badan, warna kulit atau ketinggian menjadi salah satu bentuk buli yang sering berlaku.

Menerusi kajian pada 2022 mendapati, sesetengah remaja bertindak menghina orang lain kerana mereka sendiri tidak selesa dengan penampilan diri. Ia menjadi mekanisme pertahanan diri dengan menjatuhkan orang lain sebelum diri sendiri disakiti.

Kesan buli terhadap mangsa sangat mendalam. Mereka berdepan trauma psikologi, kemurungan, kecenderungan mengasingkan diri dan ponteng sekolah. Dalam kes ekstrem, buli boleh membawa kepada percubaan membunuh diri.

Contohnya pada 2015, seorang pelajar Sekolah Menengah Sains di Terengganu mengalami kecederaan kekal termasuk kehilangan pendengaran selepas dibuli secara fizikal oleh lima pelajar senior. Mahkamah Persekutuan kemudian memutuskan pihak sekolah dan kerajaan bertanggungjawab dengan ganti rugi melebihi RM600,000.

Pendekatan holistik, bersepadu

Usaha membanteras buli memerlukan sinergi antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Susulan insiden buli yang berlaku, terdapat cadangan untuk melantik bekas tentera atau polis sebagai warden di skeolah berasrama penuh bagi memperkukuh kawalan disiplin.

KESAN buli terhadap mangsa sangat mendalam antaranya berdepan trauma psikologi, kemurungan, kecenderungan mengasingkan diri dan ponteng sekolah. -Foto: CANVA

Tugas warden juga disarankan dipisahkan daripada guru supaya fokus pengajaran tidak terganggu.

Pada masa sama, pendidikan emosi dan pemantauan media sosial wajar dilaksanakan secara sistematik.

Pendekatan naqli boleh dilaksanakan melalui pendidikan akhlak dan nilai dalam kurikulum, manakala pendekatan aqli pula melibatkan kaunseling emosi serta program pemulihan dan pembangunan diri.

Gabungan kedua-dua pendekatan itu membawa kepada penjanaan ilmu berteraskan sumber dan metodologi yang selari dengan kerangka Islam.

Selain itu, pencegahan buli berbentuk penghinaan fizikal juga menuntut pendidikan penerimaan diri, empati dan sokongan moral terhadap mangsa.

Langkah itu penting bagi membina keyakinan diri dan mengurangkan kesan psikologi jangka panjang.

Penyelesaian persengketaan alternatif (PSA) juga dapat dimanfaatkan bagi menangani isu buli di sekolah menerusi kaedah mediasi yang memberi tumpuan kepada komunikasi antara pelaku dan mangsa demi mencapai penyelesaian yang adil.

PSA memberi peluang kepada pelaku untuk merenung kembali tindakan mereka melalui sesi kaunseling dan sokongan, seterusnya meningkatkan empati serta memperbaiki hubungan sesama pelajar.

Cadangan Dr Asyraf Wajdi untuk melantik bekas anggota keselamatan sebagai warden dilihat relevan dalam usaha memperkukuh kawalan disiplin di asrama.

Pengalaman mereka dalam pengurusan situasi kritikal amat berguna dalam membendung insiden buli dan memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.

Ini kerana buli bukan sekadar masalah disiplin, tetapi merupakan ancaman tersembunyi yang berpotensi menghancurkan masa depan generasi muda.

Hanya dengan pendekatan holistik, bersepadu dan berterusan, impian untuk membentuk generasi cemerlang dapat direalisasikan.

*Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Norman Zakiyy; Penyelaras Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Pusat Tamhidi, USIM, Dr Hashim Ahmad Shiyuti dan Guru Tamhidi, Pusat Tamhidi, USIM, Alifah Hamid