Buntu urus harta pusaka

Iklan
PEMBAHAGIAN harta pusaka bagi kematian berlapis menjadi sukar apabila ia melibatkan ramai waris yang tinggal berjauhan dan ada yang tidak dapat dikesan.

Pembahagian harta pusaka arwah nenek tidak selesai, tanah jadi terbiar tidak dapat dimanfaatkan

KEDEGILAN untuk memberikan kerjasama selain tidak bersetuju dengan keputusan yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama ahli waris menyebabkan sebidang tanah berkeluasan tiga ekar terbiar dan tidak dapat diambil manfaatnya.

Ada dalam kalangan ahli waris tidak bersetuju dengan pembahagian secara faraid dan ada juga yang tidak mahu pembahagian secara sama rata.

Iklan
Iklan

“Ada yang tidak percaya kepada adik-beradik sendiri jika proses tukar hak milik tersebut dibuat kepada hanya satu nama, bimbang penama tersebut tidak mengagihkan hasil jualan tanah itu kerana ia melibatkan nilai jutaan ringgit,” katanya.

SETIAP yang bernyawa pasti akan mati walaupun dalam usia yang muda. Foto CANVA

Iklan

Begitulah luahan Nurhashimah Sharif, 38, berkaitan proses pembahagian harta pusaka yang melibatkan ramai ahli waris kerana berlaku kematian berlapis, kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Bertambah sulit selepas waris meninggal dunia

Iklan

Menurutnya, apa yang lebih menyukarkan apabila harta pusaka peninggalan neneknya itu turut melibatkan moyangnya dan dia pula meninggal dunia sebelum pembahagian harta pusaka neneknya itu disempurnakan.

“Waktu terluang hujung minggu saya gunakan untuk mencari kembali waris dan adakalanya terpaksa mengambil cuti untuk menjejaki waris.

“Ada juga adik-beradik arwah nenek yang layak menerima faraid daripada moyang juga telah meninggal dunia selepas itu. Bertambah pening untuk menguruskannya,” ujar beliau lagi.

Menurut Nurhashimah, itu belum dikira cerita-cerita yang didengari daripada ahli keluarga masing-masing.

PROSES pembahagian harta pusaka melibatkan harta aset tidak alih seperti tanah atau rumah bertambah rumit apabila ada yang tidak mahu memberikan kerjasaman. Foto CANVA

“Ada yang bercerita, tanah tersebut arwah nenek pernah menyebut untuk memberikan kepada adik-beradiknya namun ia hanya cakap-cakap mulut.

Pelbagai cerita yang didengar daripada saudara-mara, namun niatnya hanya untuk menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka yang telah tertunda sekian lama.

Niat murni selesaikan faraid

“Sekurang-kurangnya ia boleh dimanfaatkan atau dijual untuk dibahagikan kepada waris-waris yang berhak,” katanya.

Dia pernah bertanyakan perkara itu kepada seorang ustaz dan hukumnya haram melengah-lengahkan pembahagian harta pusaka serta berdosa besar.

“Saya memberitahu ibu bapa saya berkenaan perkara ini dan mereka akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan proses pembahagian harta pusaka itu.

“Bagaimanapun, kami terpaksa menghabiskan wang dan masa yang banyak untuk menjejaki waris-waris yang jauh,” kata wanita itu.

PEMBAHAGIAN harta pusaka sepatutnya dibuat dengan kadar segera agar tidak menzalimi ahli waris yang berhak terutamanya anak yatim dan golongan orang kurang upaya. Foto CANVA

Ujarnya, apa yang lebih menyedihkan, apabila waris-waris telah bersetuju untuk melepaskan hak, namun tidak lama kemudian mengubah hasrat tersebut.

“Akhirnya kami bersetuju untuk mengambil khidmat pengurusan harta pusaka untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.

Selepas beberapa sesi mesyuarat bersama pengurus harta pusaka, akhirnya proses pembahagian harta pusaka itu selesai selepas lebih 30 tahun tertangguh.

Nurhashimah kini lega dapat menyempurnakan urusan harta pusaka arwah neneknya.

Pesannya kepada masyarakat agar menyegerakan urusan pembahagian harta pusaka selepas kematian ahli keluarga masing-masing dan jangan melengah-lengahkan proses tersebut hingga berlaku kematian berlapis.

“Semua orang akan menghadapi situasi ahli keluarga meninggal dunia walaupun masih muda juga akan tetap dijemput menghadap Ilahi.

“Persiapkan diri dan pelajarilah asas ilmu faraid bagi memudahkan proses pembahagian harta pusaka ini,” katanya.