SHAH ALAM - Tiga inisiatif utama yang dilaksanakan Kerajaan Pahang iaitu Sekretariat Muafakat FELDA, Kembara Muafakat FELDA Pahang dan Jelajah Klinik Tok Wan menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), merangkumi generasi awal hingga generasi baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam berkata, pendekatan komprehensif itu dilihat sebagai pelengkap kepada usaha FELDA sedia ada dalam membela nasib peneroka serta merapatkan jurang dengan generasi seterusnya tanah rancangan.
Menurutnya, sekretariat tersebut berfungsi membantu daripada aspek yang tidak dapat dipenuhi FELDA, Kembara Muafakat FELDA Pahang pula turun padang mendengar suara hati masyarakat manakala Jelajah Klinik Tok Wan membawa doktor terus ke rumah peneroka (Home Visit).
“Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Pahang yang dilancarkan dengan peruntukan RM2 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang akan menjadi penyelaras penting antara FELDA, peneroka dan kerajaan negeri.
“Fungsinya bukan seperti FELDA 100 peratus tetapi membantu melibatkan kekurangan yang masih ada, termasuk kebajikan peneroka dan generasi baharu. Kembara Muafakat FELDA Pahang dan Jelajah Klinik Tok Wan pula merupakan dua inisiatif tambahan di bawah sekretariat itu.
“Kita namakan Klinik Tok Wan bersempena dengan panggilan mesra Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Wan Rosdy Wan Ismail sendiri memandangkan ia adalah hasil idea beliau. Melalui inisiatif ini, doktor akan menziarahi peneroka (penerima Kad Kesihatan Kasih Makmur) serta lihat jika mereka ada masalah kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual hos, Haizir Othman melalui siri Interviu x Podcast Sinar Harian bertajuk Keprihatinan Pahang, Nafas Baru FELDA bertempat di Kompleks Karangkraf, di sini.
Tambah Amizar, penubuhan FELDA di Pahang dianggap sebagai satu projek pembasmian kemiskinan yang unik dan tidak wujud di mana-mana negara lain.
Jelasnya, FELDA Lurah Bilut yang ditubuhkan pada tahun 1960 menjadi indikator penting kepada kejayaan inisiatif membasmi kemiskinan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu merupakan Perdana Menteri.
“Di negeri lain, orang luar tidak dibenarkan masuk menyertai FELDA negeri berkenaan. Namun uniknya Pahang ini, kita membuka ruang untuk mereka.
“Allahyarham Tun Abdul Razak membuka ruang kepada semua orang untuk bersama-sama membasmi kemiskinan dan mereka boleh datang ke Pahang untuk menjadi peneroka.
“Itulah FELDA, kalau kita kaji memang tiada dalam dunia. Hanya ada di Malaysia. Sebab itu program yang dilaksanakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak ini sangat signifikan membantu masyarakat, terutama sekali membantu membasmi kemiskinan di luar bandar,” jelasnya.
Beliau menambah, keunikan FELDA di Pahang turut dapat dilihat daripada kepelbagaian loghat dan nama-nama rancangan FELDA seperti Chemomoi, Kemasul dan Sungai Kemahal di Pelangai yang membentuk identiti tersendiri.
Pahang juga mempunyai tanah rancangan FELDA paling banyak iaitu kira-kira 115 berbanding negeri-negeri lain.
Selesaikan isu hak milik geran
Menurut Amizar, antara kejayaan kerajaan negeri adalah menyelesaikan masalah hak milik peneroka asal yang melibatkan perwarisan daripada generasi pertama kepada anak-anak mereka.
“Alhamdulillah, sejak diperkenankan oleh Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan diberi kepercayaan oleh Menteri Besar, kita banyak selesaikan masalah tersebut.
“Di Pahang, kita ada tiga wilayah iaitu Kuantan, Jengka dan Mempaga, keseluruhannya seramai 43,126 ketua isu keluarga atau peneroka. Banyak geran ini dapat kita selesaikan, hanya baki lebih kurang 1,638 lagi.
“Ia dapat diselesaikan dengan adanya sesi libat urus bersama dengan pejabat tanah, peneroka dan pewaris tersebut, maka dapat diselesaikan dengan baik. Kita dapat selesaikan sedikit demi sedikit antaranya kita akan pergi ke kawasan-kawasan yang tertinggal,” jelasnya.
Ditanya tentang fokus terhadap kesinambungan perjuangan generasi FELDA, Amizar berkata, ada beberapa badan yang membantu seperti Permuafakatan Siswa/i FELDA (PERSADA) yang beroperasi di universiti, Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) untuk belia bawah 35 tahun dan Kami Anak FELDA (KAF) untuk generasi dewasa.
Amizar turut menzahirkan perasaan bangga apabila ramai generasi FELDA yang kembali menyumbang kepada komuniti dengan membawa idea, bantuan kewangan dan membina perusahaan sendiri di tanah rancangan masing-masing.
Komitmen kerajaan negeri terhadap FELDA Mengakui cabaran menjelajahi kawasan FELDA yang luas, Amizar berkata, kerajaan negeri tetap komited dalam membantu masyarakatnya dan bersedia untuk mendengar isi hati rakyat.
Menurutnya, melalui jelajah tersebut, mereka akan melakukan town hall bagi mengetahui sendiri masalah peneroka dan generasi baharu, selain menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan negeri.
“Kita juga nak meningkatkan komunikasi dua hala di antara peneroka, generasi baharu dengan kerajaan negeri, sebab itu kita mahu menyantuni komuniti itu sendiri.
“Kita ada ramai anak muda, lebih kurang 500,000 anak-anak generasi FELDA Pahang ini. Kita harap melalui jelajah ini, mereka mengenal pasti apakah inisiatif kerajaan negeri yang boleh diberikan dan dapat mereka kecapi serta peluang untuk mereka termasuk menjadi usahawan FELDA.
“Baru-baru ini, Menteri Besar ada umumkan peruntukan khusus kepada usahawan FELDA Pahang. Ini satu perkara yang luar biasa yang saya nampak membantu usahawanusahawan kita,” jelasnya.
Menyentuh mengenai nasib Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu sinonim dengan FELDA, Amizar mengakui begitu terkesan dengan kejadian yang menimpa bekas Perdana Menteri itu. Jelasnya, selain penubuhan FELDA sendiri yang merupakan cetusan idea bapa Najib iaitu Tun Abdul Razak, kedua-duanya begitu berjasa kepada masyarakat FELDA secara keseluruhannya.
“Sebab itu saya yakin dan percaya, saya mohon pada pihak kerajaan cuba fi kirkan (penyelesaian) sebab banyak perkara yang tak boleh dirungkai.
“Siapa yang tak kenal dan panggil Bosku di kawasan FELDA. Bosku di FELDA ini diibarat ‘berpisah tiada’ sebab banyak jasa yang telah pun dibuat,” katanya.