KETIKA ribuan berhimpun di Kuala Lumpur dalam perhimpunan 'Turun Anwar' pada 26 Julai 2025, ia melakar suatu penanda aras dalam amalan demokrasi.
Ia bukan semata-mata tentang desakan politik atau tekanan moral terhadap Perdana Menteri tetapi lebih jauh dari itu, perhimpunan ini telah mencipta detik penting yang menunjukkan demokrasi itu bukan sekadar boleh hidup, tetapi boleh subur dengan bermaruah. Ini detik yang tidak semua negara berani laluinya.
Perhimpunan ini adalah suatu titik tolak dalam sejarah demokrasi negara. Anwar Ibrahim, mula-mula mencetuskan gerakan berhimpun di jalanan demi membela nasib rakyat miskin Baling pada tahun 1974 pada zaman pemerintahan yang melihat demonstrasi jalanan adalah suatu ancaman kepada politik negara.
Akan tetapi, beliau menggerakkan perhimpunan sebagai semangat perjuangan. Beliau pernah ditahan dan diburu kerana bersuara dan pernah menjadi lambang penentangan kezaliman kuasa. Kini, gerakan reformasi ini berterusan semasa beliau berada di tampuk kuasa.
Ini bukan sahaja ironi, tetapi juga memaknai kematangan erti demokrasi. Demonstrasi yang dijalankan kali ini bukanlah sesuatu yang boleh dipersetujui tetapi ia sesuatu yang munasabah untuk meraikan semangat perjuangan.
Ini kerana Anwar tidak mengulangi kekerasan yang pernah menimpanya. Tiada pasukan keselamatan diarah untuk menggunakan kekerasan.
Sebaliknya, yang berlaku ialah kawalan profesional oleh pihak keselamatan dan ruang aman buat rakyat menyuarakan isi hati. Inilah wajah baharu demokrasi.
Namun, tidak bermakna penganjuran demonstrasi seperti ini harus diraikan atau dijadikan rujukan utama dalam berpolitik.
Sudah terang bahawa ia dianjurkan dengan tujuan seata-mata untuk menekan kerajaan dan menimbulkan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri.
Namun persoalan yang berbangkit ialah, apakah kesudahannya? Apakah end game kepada perhimpunan ini? Jawapan itu tidak terletak pada bilangan yang hadir di jalanan atau tularnya poster di media sosial.
Pembangkang seharusnya menggunakan saluran yang betul iaitu membawa suara rakyat ke Parlimen iaitu institusi yang memegang kuasa membuat dasar, menggubal undang-undang, dan mewakili suara rakyat secara rasmi.
Jika benar keresahan rakyat tentang kos sara hidup, harga barang, pekerjaan dan integriti pentadbiran, maka pentas Parlimen adalah tempatnya.
Demonstrasi tidak seharusnya menjadi destinasi akhir perjuangan politik; ia hanya pembuka bab.
Bab-bab seterusnya mesti ditulis dalam perbahasan rasmi, dalam pindaan rang undang-undang, dan dalam tindakan dasar yang konkrit di Parlimen.
Namun dalam hiruk-pikuk semua ini, ada satu suara yang masih tenggelam: suara majoriti yang diam. Silent majority sering disebut, tetapi jarang didekati.
Mereka tidak turun berhimpun, tidak menjerit di Twitter, tidak bermanifesto di TikTok. Tetapi merekalah penentu sebenar dalam pilihan raya, dalam pembentukan mandat, dan dalam kekuatan politik jangka panjang.
Mereka bukan tidak peduli. Mereka hanya menilai dari jauh, mempertimbang dan akhirnya membuat keputusan. Perhimpunan ini sama ada disedari atau tidak adalah wake-up call kepada kelompok ini.
Diam bukan lagi satu kemewahan. Kerana diam juga adalah satu bentuk keputusan. Diam membolehkan pihak lain menentukan arah tuju negara.
Justeru, kelompok ini mesti bersuara. Mungkin bukan melalui mikrofon demonstrasi, tetapi melalui dialog, saluran komuniti, NGO, institusi tempatan, dan yang paling utama peti undi.
Suara mereka mesti dikembalikan kepada wacana nasional. Dan lebih penting, mereka sendiri mesti bangkit untuk tidak terus tenggelam dalam keheningan yang mahal.
Apa yang berlaku pada 26 Julai adalah bukti bahawa demokrasi di Malaysia telah melangkah ke fasa baru. Kita bukan lagi berada di zaman di mana kuasa digunakan untuk menutup mulut rakyat.
Malaysia tidak akan runtuh kerana perbezaan pandangan, tetapi boleh runtuh jika kita tidak tahu cara mengurus perbezaan itu.
Di sinilah Anwar telah menunjukkan hala tuju bahawa kuasa bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk membina ruang.
Dengan institusi keselamatan yang bertindak profesional, dengan rakyat yang semakin matang, dan dengan pemimpin yang memilih keberanian moral daripada keangkuhan politik, kita sedang menyaksikan satu babak baru dalam perjalanan negara di mana seorang Perdana Menteri yang pernah ditindas, tetapi kini memilih untuk meraikan suara rakyat dengan jiwa yang besar.
Inilah masa depan politik yang kita mahu wariskan: berani bersuara, bersedia mendengar, dan sentiasa berpijak pada hikmah dan kematangan.
* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)