TELUR ayam merupakan bahan penting dalam kehidupan harian rakyat, digunakan dalam pelbagai makanan daripada nasi lemak hingga kek.
Namun, bermula hari ini, telur ayam memasuki fasa baharu apabila subsidi kerajaan terhadap komoditi itu ditamatkan.
Penamatan subsidi diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selepas mengambil kira kestabilan kos pengeluaran dan jaminan bekalan oleh industri.
Kerajaan memberi jaminan harga pasaran telur ayam akan terus terkawal walaupun tanpa subsidi.
KPKM menjelaskan penstrukturan semula subsidi adalah langkah penyasaran berfasa yang lebih lestari dan memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat.
Industri bersetuju memperkenalkan telur gred khas dengan harga lebih berpatutan bagi memastikan bekalan terus stabil dan mampu milik.
Namun, persoalannya, adakah penamatan subsidi benar-benar tidak membebankan rakyat atau harga akan naik secara senyap?
Dalam keadaan ekonomi mencabar, rakyat sudah terbeban dengan kenaikan harga barangan harian.
Kenaikan harga walau beberapa sen tetap memberi kesan besar kepada kos sara hidup dan harga makanan di pasaran.
Jika peniaga menaikkan harga makanan berasaskan telur tanpa kawalan, ia menambah tekanan kepada pengguna yang berdepan kos isi rumah semakin tinggi.
Oleh itu, peniaga wajar bertanggungjawab dan tidak menaikkan harga secara mendadak yang membebankan rakyat.
Pengguna juga perlu bijak membuat pilihan dan menyokong peniaga beretika jika ada yang mengambil kesempatan menaikkan harga melampau.
Tindakan menyokong peniaga bertanggungjawab adalah bentuk solidariti pengguna yang berkesan.
Jangan beri ruang kepada pihak tertentu mengaut untung atas penderitaan rakyat, terutama dalam isu makanan asas seperti telur.
Rakyat perlu lebih peka terhadap perubahan dasar makanan asas kerana kesannya terus dirasai dalam kehidupan seharian.