MENJADI warga Kuala Lumpur tetapi bekerja di Shah Alam sememangnya ujian yang menuntut kesabaran tinggi.
Hari-hari kena harung jem, terutama bila terpaksa ke pejabat pada waktu pagi. Tambah pula, dalam dua minggu ini, jalan yang biasanya cuma masa sejam, kini jadi dua jam... pelik sungguh kenapa boleh jem teruk sangat tiba-tiba.
Merak Jalanan cuma nak tanya kenapa LRT3 di Shah Alam yang nampak macam dah siap, tetapi masih belum boleh digunakan.
Cuba kita fikir, kalau sekarang boleh digunakan, sudah tentu boleh kurang sikit kesesakan di jalan utama sebab ada pengguna yang tidak lagi memandu kereta dan jumlah kenderaan akan berkurangan, betul tak? Bukankah itu yang kita semua harapkan sekarang?
Walaupun menteri sudah kata LRT3 bakal beroperasi Jun tahun ini, namun Merak Jalanan lebih suka jika ada kemungkinan untuk awalkan sedikit.
Kita dah lama tunggu sejak tahun lepas, menanti pengangkutan yang lebih mudah dan efisien di Shah Alam.
Merak harap semua ujian keselamatan dapat diselesaikan awal dan Menteri Pengangkutan dapat memberikan kemungkinan laluan tersebut sedia beroperasi lebih awal.
Merak Jalanan ingat, kalau betul-betul boleh dibuka lebih awal, itu sudah cukup meringankan beban rakyat, bukan sekadar janji. Kita tak mahu nanti ada alasan ditunda ke hujung tahun pula. Sudah terlalu lama tunggu LRT3 siap.
Merak Jalanan mahu semua pihak peka, jangan hanya lihat projek siap di mata kasar, tetapi lihat kepada ia beri manfaat kepada rakyat secepat mungkin.
Dengan penuh pengharapan, Merak Jalanan berdoa agar selepas raya nanti, warga Shah Alam dan KL yang bekerja boleh tersenyum lega dan perjalanan ke pejabat tidak lagi seperti menempuh ujian kesabaran harian.