PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis merupakan antara pengumuman paling penting tahun ini.
Ketika negara berdepan cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik, RMK13 dengan sasaran pelaburan keseluruhan berjumlah RM611 bilion tampil sebagai pelan pemulihan dan pemerkasaan nasional yang sangat ditunggu-tunggu.
Dengan tiga kebijakan utama menjadi teras iaitu pembentukan negara bangsa berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan Madani serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan (AI), RMK13 membawa kerangka tindakan yang seimbang antara visi masa depan dan keperluan rakyat hari ini.
Ia bukan sekadar perancangan atas kertas, tetapi berpandukan realiti semasa dan keperluan mendesak rakyat.
Antara berita baik paling melegakan adalah komitmen kerajaan untuk meneruskan inisiatif bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) demi memastikan golongan B40 tidak terpinggir.
Ia memperlihatkan kerajaan tidak melupakan kelompok rentan dalam proses pemulihan ekonomi.
Lebih daripada itu, janji untuk membina satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 2026 hingga 2035 adalah langkah konkrit yang menjawab keperluan paling asas rakyat memiliki tempat tinggal.
Golongan muda dan berpendapatan sederhana yang selama ini tersepit antara harga rumah tinggi dan gaji sederhana, bakal mendapat sinar harapan.
Sektor kesihatan pula akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh RMK13 bagi mengurangkan perbelanjaan rakyat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Ini diikuti perancangan lebih banyak projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik kerajaan dapat dilaksanakan termasuk yang daif.
Antaranya Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Negeri Sembilan, Hospital Sultanah Aminah 2 (Johor), Pusat Kanser Wilayah Utara (Kedah), Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (Sabah) dan Pusat Kanser Sarawak.
Bagaimanapun, untuk memastikan segala perancangan itu benar-benar memberi manfaat, kerjasama semua pihak adalah kunci utama.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa RMK13 harus menjadi milik bersama melibatkan setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan kerajaan.
Mereka perlu berganding bahu dan teguh bergerak di landasan pembangunan demi mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat.
Justeru, RMK13 bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi satu amanah kolektif yang perlu disokong oleh swasta, masyarakat sivil dan rakyat keseluruhan.
Rakyat juga perlu memainkan peranan dengan menyesuaikan diri kepada perubahan dan menyokong dasar-dasar yang digariskan dalam pelan terbabit.
Sikap optimis, kesediaan untuk beradaptasi dan keterbukaan terhadap pembangunan akan menjadikan pelaksanaan RMK13 lebih berkesan.
Sebagaimana ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, RMK13 hadir tepat pada masanya sebagai landasan penting untuk mengurus cabaran ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan daya saing serta kesejahteraan rakyat.
Kejayaan RMK13 juga bermakna pemerkasaan sektor pekerjaan, peningkatan pendapatan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar.
Inilah impian yang selama ini dinanti oleh jutaan rakyat Malaysia.
Justeru, RMK13 perlu dijayakan, bukan hanya oleh kerajaan tetapi juga oleh rakyat sebagai pemegang taruh utama.