RMK13: Pahang sambut baik inisiatif hab makanan negara, pacu ekonomi Pantai Timur

Iklan
Wan Rosdy (barisan hadapan, enam dari kiri) bersama veteran ATM dan PDRM yang hadir pada majlis minum petang di sini pada Khamis.

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan mewujudkan hab pengeluaran makanan negara bersepadu dan berdaya saing bagi memacu pembangunan Kelantan, Pahang dan Terengganu dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) seperti yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia sangat baik kerana Pahang dan juga negeri-negeri di Pantai Timur lain memerlukan hub pengeluaran makanan bagi memacu dan menjana peluang ekonomi negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pahang sendiri telah merangka pelaksanaan inisiatif seumpama itu termasuk hab halal di negeri ini.

"Bagi menjayakannya, kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti tapak yang sesuai bagi memastikan inisiatitif yang kini diperingkat perancangan itu dapat dilaksanakan," katanya mengulas inisiatif melalui RMK-13 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Iklan

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Minum Petang Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Sambutan Hari Pahlawan Negeri Pahang 2025 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, dengan adanya usahasama dan bantuan Persekutuan, pembangunan hab makanan di negeri ini boleh dipercepatkan lagi.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini berkata, pembangunan dipacu melalui pewujudan hab pengeluaran makanan negara yang bersepadu dan berdaya saing di tiga negeri pantai timur termasuk Pahang mampu menjana peluang ekonomi baharu khususnya kepada penduduk desa.

Bertemakan"Melakar Semula Pembangunan", RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 ikhtiar kerajaan untuk membuat pembaharuan ke atas agenda pembangunan sosioekonomi negara yang menyeluruh selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.

la bertujuan melakar semula pembangunan dengan menetapkan dasar, strategi dan inisiatif bagi membentuk negara dan bangsa, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar, memperkukuh tatakelola terbaik serta melonjakkan pertumbuhan ekonomi serantau dan dunia.