SHAH ALAM – Skim Pembiayaan Perkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani serta Dana Latihan TVET wajar diletakkan sepenuhnya di bawah pengurusan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan diselaraskan oleh Majlis TVET Negara.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, langkah tersebut bertujuan mengelakkan pertindihan pelaksanaan dalam kalangan 12 kementerian yang terlibat dalam TVET, serta memastikan ketelusan, keberkesanan dan impak maksimum kepada para pelatih.
Menurutnya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merupakan peluang terbaik untuk memperkasa dan memperbaharui peranan PTPK, dengan memastikan agensi tersebut bukan lagi hanya berfungsi sebagai pemberi pinjaman, tetapi turut menjadi pelabur kepada masa depan tenaga kerja negara.
“Belia Mahir mencadangkan agar PTPK dijenamakan semula sebagai National TVET Fund dengan fungsi yang lebih luas dan strategik.
“Antaranya meliputi pembiayaan peralatan latihan dan pembangunan bengkel pintar (smart labs), geran mobiliti untuk latihan luar negara, insentif kepada syarikat yang melatih dan menggaji lepasan TVET serta dana inovasi latihan bersama industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pembentangan RMK13 menyaksikan komitmen kerajaan untuk melancarkan inisiatif pembiayaan baharu khusus bagi memperkukuh TVET melalui Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang seiring dengan keperluan industri masa hadapan.
Ia juga bertujuan memastikan golongan muda mendapat akses kepada kemahiran teknikal berkualiti tinggi, sejajar dengan permintaan pasaran buruh yang semakin memerlukan tenaga kerja mahir.
Sehubungan itu, Mohammad Rizan berkata, pihaknya menyambut baik komitmen kerajaan dalam memperkasa ekosistem TVET negara.
Bagaimanapun, tegas beliau, pendekatan latihan perlu lebih dinamik dan disesuaikan dengan keperluan industri.
“Antara bentuk latihan yang wajar diperkasakan dan diberikan pembiayaan ialah Teaching Factory (TEFA), Work-Based Learning (WBL) dan Program Perantisan (Apprenticeship).
“Di samping itu, pensijilan profesional perlu disepadukan bersama Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) bagi mengelakkan pembaziran masa dan kos.
“Penyatuan ini akan memastikan pelatih memiliki kompetensi yang memenuhi standard industri dan antarabangsa secara serentak,” katanya.