SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia bermula 1 Ogos ini.
Kenaikan ini melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini. Pelarasan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan Perak.
Beberapa negeri turut menunjukkan perubahan bagi caj minimum bulanan.
Di Perlis berlaku kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80, manakala di Kelantan meningkat daripada RM6.80 kepada RM8.00.
Bagi negeri Terengganu, pengguna domestik dengan penggunaan tinggi akan terkesan dengan kenaikan lebih ketara iaitu kadar tambahan masing-masing RM0.86 dan RM1.17 bagi peringkat penggunaan kedua dan ketiga.
Bagaimanapun Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya caj minimum kekal pada kadar RM6.50 sebulan, manakala Johor mengekalkan kadar RM10.50.
Sebelum ini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan telah menerima permohonan bagi menyemak semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air daripada operator perkhidmatan di 10 negeri yang berada di bawah kawal selia agensi itu.
Jelasnya, setiap aspek akan diambil kira sebelum sebarang pertimbangan diberi bagi memastikan kesejahteraan 27.2 juta pengguna diutamakan dan kemampuan operator untuk terus memberikan perkhidmatan turut diberi perhatian.
Kenaikan kali ini juga dijangka dapat memberi ruang kepada operator negeri mempercepatkan usaha penggantian paip lama, menaik taraf loji rawatan air serta mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).
Pelarasan ini merupakan yang kedua sejak tahun lalu, apabila kerajaan melaksanakan semakan tarif pertama pada Februari 2024 melibatkan peningkatan purata sebanyak 22 hingga 29 sen bagi setiap meter padu bagi kategori domestik.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini menegaskan bahawa walaupun tarif air berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebarang perubahan perlu mendapat kelulusan Kerajaan Pusat di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
Sebilangan pengguna menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan tersebut, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, namun sebahagian yang lain mengakui keperluan semakan tarif bagi menjamin kelestarian bekalan jangka panjang.
Langkah ini turut membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk merancang skim bantuan bersasar kepada isi rumah berpendapatan rendah agar tidak terkesan dengan perubahan struktur tarif baharu yang akan dikuatkuasakan esok.