KPKT laksana reformasi pembersihan awam

Iklan
Kor Ming (dua dari kanan) melawat reruai SWCorp pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2025 di sebuah hotel di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal melaksanakan reformasi pembersihan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), meliputi inisiatif jalan tanpa habuk, penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi kerja malam serta pengenalan sistem pemantauan bayaran secara Single Window Payment Monitoring System.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pembaharuan itu bertujuan memodenkan sektor kebersihan negara supaya lebih cekap, selamat dan mampan selaras dengan agenda Malaysia Madani.

Iklan
Iklan

“Dengan peredaran teknologi dan cabaran urbanisasi, sektor pembersihan juga perlu mengadaptasi penggunaan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan serta profesionalisme tenaga kerja di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2025 anjuran SWCorp di sini pada Rabu. Turut hadir Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian.

Iklan

Kor Ming menegaskan bahawa pekerja pembersihan perlu dilihat sebagai barisan hadapan yang memainkan peranan besar dalam kesejahteraan persekitaran negara.

“Tema ‘Keringat Pekerja, Tunjang Kebersihan’ amat bertepatan kerana tugas mereka bukan sekadar kerja fizikal, tetapi mencerminkan komitmen dan integriti tinggi dalam menjaga kebersihan negara,” ujarnya.

Iklan

Setakat ini, seramai 26,641 pekerja pembersihan berkhidmat di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672, dengan 36 peratus daripadanya adalah warga asing.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang 2025 kepada tujuh pekerja terpilih mewakili negeri-negeri di bawah Akta 672 sebagai penghargaan terhadap dedikasi luar biasa mereka.

Selain itu, tiga pekerja pembersihan turut menerima sumbangan khas sebagai tanda prihatin terhadap cabaran dan risiko yang mereka hadapi semasa menjalankan tugas.

Dalam majlis sama, SWCorp turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) melalui pencapaian membina struktur burung terbesar daripada bahan kitar semula’, yang kini dipasang di Kuantan Art Street sebagai simbol inovasi hijau dan kelestarian bandar.

Kor Ming turut menyeru agar majlis penghargaan seperti ini dijadikan acara tahunan, dan pelaksanaannya diperluas ke seluruh negara termasuk negeri yang belum melaksanakan Akta 672.

Beliau menambah, usaha memastikan kebersihan negara tidak hanya terletak di bahu pekerja semata-mata, malah turut menuntut kerjasama dan disiplin masyarakat dalam membuang sampah di tempat yang betul.

“Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang baru diluluskan membolehkan mahkamah mengenakan hukuman khidmat masyarakat terhadap pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam,” katanya.

Menurut beliau, pengiktirafan terhadap pekerja sektor 3D (Difficult, Dangerous, Dirty) bukan hanya simbolik, sebaliknya satu kewajipan moral seluruh agensi, syarikat dan masyarakat demi menghargai jasa mereka yang tidak ternilai.