Bayi tujuh bulan maut, ibu bapa angkat direman tujuh hari

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kes bayi meninggal dunia dengan kesan lebam, ibu bapa angkat ditahan. (Gambar kecil: Mohamed Usuf)

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah kondominium di sini pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pasangan suami isteri berusia 38 dan 50 tahun itu merupakan ibu dan bapa angkat kepada bayi berkenaan.

Iklan
Iklan

“Pasangan suami isteri itu direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut mendapati ibu kandung bayi berkenaan adalah seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Sri Rahayu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mohamed Usuf berkata, menurut suspek, bayi itu diserahkan kepadanya oleh ibu kandung sebelum wanita berkenaan pulang ke Indonesia sejak 18 Jun lalu.

“Setakat ini, proses bedah siasat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras masih belum selesai,” katanya.

Iklan

Terdahulu pada Khamis, media melaporkan bayi berkenaan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan penuh lebam di badan di sebuah kondominium.

Polis menerima laporan pada jam 9.34 malam daripada seorang lelaki yang juga suspek dalam kes berkenaan, memaklumkan bahawa anak angkatnya tidak sedarkan diri di rumah tersebut.

Sepasukan anggota polis segera ke lokasi kejadian dan menemui mangsa terbaring di ruang tamu dalam keadaan kebiruan serta kesan lebam di badannya.

Pasangan suami isteri berusia 38 dan 50 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.