Wanita maut tercampak dalam kemalangan tiga kenderaan

Iklan
Seramai lapan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat. - Foto JBPM

KUALA LUMPUR - Seorang wanita maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 438.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Sungai Buaya, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Muhklis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.30 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa tiba di lokasi pada jam 6.55 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kemalangan itu melibatkan dua Perodua Myvi serta sebuah Honda Jazz.

"Myvi pertama membawa dua mangsa, iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun yang tersepit dan mengalami kecederaan parah, serta seorang wanita berusia 44 tahun yang tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Iklan

"Seorang wanita berusia 30 tahun yang menaiki Myvi kedua turut tersepit dan mengalami kecederaan parah, manakala seorang lelaki berusia 27 tahun yang berada dalam Honda Jazz berjaya keluar sendiri dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit selesai pada jam 7.13 pagi, dan kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.

Iklan