KAJANG – Tindakan dua penunggang motosikal menghalang sebuah kenderaan di Jalan Cheras Perdana, Batu 11 di sini pada Selasa mengundang padah apabila mereka dikesan polis susulan video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Polis Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video dimuat naik dalam media sosial berkenaan oleh seorang pemilik akaun Facebook.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 5.40 petang.
"Dua penunggang motosikal terbabit didapati sedang menunda motosikal mereka yang mengalami kerosakan sebelum berlaku pertengkaran mulut dengan seorang pemandu kereta.
"Mereka kemudian bertindak menghalang kenderaan terbabit walaupun pemandu berkenaan berada di lorong yang betul,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, tindakan kedua-dua penunggang motosikal itu yang melawan arus bagi menghampiri kenderaan terbabit turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379.
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan tindakan dua individu mengherdik pemandu sebuah kenderaan.
Aksi itu kemudian berlarutan sehingga ke satu kawasan persimpangan lampu isyarat apabila salah seorang individu itu bertindak menghalang kenderaan terbabit.
Kejadian dipercayai dirakam kamera papan pemuka kenderaan itu sebelum ia didapati tular di media sosial.