PUERTO AYORA - Amaran tsunami telah ditarik balik di seluruh Lingkaran Pasifik, sekali gus membolehkan jutaan penduduk kembali ke kediaman masing-masing pada Rabu.
Langkah pemindahan segera dibuat selepas ombak setinggi empat meter diramalkan di beberapa bahagian di Pasifik setelah gempa kuat 8.8 skala Richter menggegar Semenanjung Kamchatka di Rusia.
Lebih 12 negara dari Jepun ke Amerika Syarikat (AS) dan Ecuador bertindak memberi amaran kepada penduduk terutamanya di kawasan tepi pantai serta berdataran rendah.
Ancaman tsunami itu turut menyebabkan Peru menutup 65 daripada 121 pelabuhan Pasifik mereka manakala pihak berkuasa di Maui membatalkan penerbangan dari dan ke Pulau Hawaii.
Di Jepun, hampir dua juta diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi sebelum amaran itu diturunkan, namun ombak setinggi 0.7 meter masih dipantau pada Khamis.
Di Chile, pemindahan melibatkan kira-kira 1.4 juta penduduk dan ombak yang direkodkan hanya setinggi 60 sentimeter di pantai utara negara itu.
Kawasan paling teruk terjejas adalah di Moscow di mana tsunami membadai pelabuhan Severo-Kurilsk dan menenggelamkan pusat perikanan tempatan.
Selain itu, gunung berapi Klyuchevskoy turut meletus dan memuntahkan lava tidak lama selepas insiden gempa kuat tersebut.
Gegaran itu merupakan yang terkuat di wilayah Kamchatka sejak 1952 dan salah satu daripada 10 aktiviti seismik paling dahsyat pernah direkodkan sejak 1900.
Ia disusuli dengan puluhan gempa susulan di kawasan Timur Jauh Rusia termasuk berkekuatan 6.9 skala Richter. - AFP