SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melaksanakan penggeledahan ke atas 28 syarikat yang dipercayai terbabit dengan sindiket penyeludupan besi buruk dan sampah elektronik (e-waste) di lima negeri sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport mencecah lebih RM950 juta.
Menurut sumber, syarikat terbabit digeledah hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara (BNM) sejak 14 Julai lalu.
"Siasatan masih berjalan dan sehingga kini seramai 32 orang sudah dirakam keterangan.
"Setakat ini belum ada individu yang ditahan namun siasatan masih berjalan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambah sumber, sehingga kini, jumlah keseluruhan pembekuan akaun dan penyitaan harta ialah RM332.5 juta.
Jelasnya, ia membabitkan akaun bank RM149.5 juta, kereta (RM1.8 juta), rumah (RM15.5 juta), tanah (RM165 juta) dan jam tangan mewah RM700,000.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.
Sebelum ini, Op Metal secara bersepadu itu dijalankan BOK SPRM di Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor pada 14 Julai lalu.
Pelbagai aset telah disita antaranya lapan hartanah di Pulau Pinang iaitu tiga unit banglo di Batu Maung, satu unit Penthouse di Tanjung Tokong, satu unit lot kedai di Bayan Lepas, 31 ekar tanah di Nibong Tebal selain enam unit kereta mewah yang terdiri daripada model Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser dan Toyota Alphard.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-waste melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.