RIZAB Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah utama pada paras 4.25 peratus hingga 4.50 peratus buat kali kelima berturut-turut dalam keputusan undian 9-2 oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).
Keputusan itu dibuat walaupun mendapat tekanan kuat dari Presiden AS, Donald Trump supaya Bank Pusat itu menurunkan kadar faedah.
Hanya dua ahli FOMC yang membantah keputusan jawatankuasa itu kerana mereka merupakan lantikan Trump sendiri dan sehaluan dengan beliau dalam menilai bahawa dasar monetari semasa terlalu ketat.
Dalam kenyataan rasmi, Fed menyatakan kadar pengangguran kekal rendah dan pasaran buruh masih kukuh, namun inflasi kekal agak tinggi.
Fed turut mengakui bahawa pertumbuhan ekonomi telah menurun pada separuh pertama tahun ini, memberi ruang kepada kemungkinan pemotongan kadar pada masa akan datang sekiranya trend perlahan itu berterusan.
Namun, mereka juga memberi amaran bahawa ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi kekal tinggi dan menambah bahawa terdapat risiko kepada matlamat inflasi dan guna tenaga penuh mereka.
Ini sekali gus menjelaskan sebab Bank Pusat AS itu masih enggan mengambil langkah drastik untuk mengurangkan kadar pinjaman buat masa ini.
Pendirian Fed yang masih berhati-hati walaupun terdapat desakan politik mencerminkan ketegangan antara dasar fiskal dan monetari di AS.
Trump sebelum ini memberi tekanan terhadap Fed untuk melonggarkan dasar bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Rasa tidak puas hati Trump terhadap Fed memuncak dengan presiden itu mengancam untuk mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu memecat ketua bank pusat itu.
Trump berulang kali menyatakan keinginannya untuk pemotongan kadar semasa untuk membantu merangsang pertumbuhan ekonomi ketika beliau melancarkan rancangan tarifnya.
Beliau juga mengancam untuk memecat Pengerusi Fed, Jerome Powell jika ingkar, dengan meletakkan bank dan Rumah Putih dalam laluan pertembungan yang dikhabarkan oleh penganalisis boleh menjejaskan kestabilan pasaran kewangan AS.
Bagaimanapun Presiden AS tidak mempunyai kuasa untuk memecat Pengerusi Fed, atau mana-mana anggota dalam jawatankuasa penetapan kadar bank itu atas sebarang sebab.
Sistem Rizab Persekutuan telah diwujudkan lebih seabad lalu dan ia direka untuk melindungi Bank Pusat AS daripada campur tangan politik.