JAKARTA – Seorang lelaki warga emas di Kabupaten Blora, Jawa Tengah, disiasat polis selepas didakwa menendang seekor kucing hingga mati kerana berasa terganggu ketika melakukan aktiviti joging.
Ketua Siasatan Jenayah (Kasatreskrim) Polres Blora, AKP Zaenul Arifin berkata, suspek dikenali sebagai Pujianto, 69, bertindak sedemikian selepas berulang kali menegur pemilik kucing berkenaan yang berada di laluan joging.
Menurut beliau, pada lintasan pertama, suspek menegur pemilik agar kucing itu beredar, manakala pada lintasan kedua, haiwan berkenaan terus ditendang.
Kejadian itu disaksikan pemilik kucing, seorang wanita, yang kemudian menegur tindakan suspek, namun dibalas dengan sindiran.
Video insiden tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pengguna Instagram, memaparkan kucing berwarna hitam kelabu itu kejang sebelum mati akibat kecederaan.
Polis memaklumkan, suspek yang dipercayai seorang peguam dan pesara penjawat awam telah dipanggil memberi keterangan.
Kes kini disiasat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan (KUHP) baharu Indonesia berkaitan penganiayaan haiwan.
Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 1.6 tahun atau denda maksimum 50 juta juta (RM11,718). - Agensi