KUALA LUMPUR - Penubuhan Tribunal Hak Asasi Manusia yang sedang dalam peringkat kajian dijangka membuka ruang kepada semakan semula kes pencabulan hak asasi, termasuk kes berprofil tinggi seperti kematian mendiang Teoh Beng Hock yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia (JKKTHAM) yang ditubuhkan Jun lalu itu juga meneliti dan mempertimbangkan pelaksanaan syor dan dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Menurutnya, walaupun masih terlalu awal untuk menentukan parameter tribunal tersebut, rundingan bersama pihak berkepentingan sedang giat dijalankan bagi memastikan tribunal itu mempunyai asas perundangan kukuh dan boleh bertindak terhadap kes-kes pencabulan hak asasi.
“Saya berpandangan adalah penting syor-syor atau pandangan Suhakam tidak dibiarkan dengan begitu sahaja tetapi dilaksanakan.
“Khusus kepada apa yang ditanya (berkaitan kematian Beng Hock), saya percaya apabila ia mencabuli hak asasi, saya rasa perkara itu adalah dirangkumi dalam tribunal bila ia ditubuhkan.
“Setakat ini, terlalu awal untuk dikatakan kerana kerangka, asas dan parameter belum lagi ditentukan. Itulah sebabnya kita melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan. Saya sependapat dengan Yang Berhormat bahawa perkara-perkara ini boleh disiasat dan tindakan susulan boleh diambil,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bertanyakan sama ada kes seperti kematian Beng Hock, boleh didengarkan semula jika Tribunal Hak Asasi Manusia ditubuhkan kelak.
Beng Hock ditemui maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14, bangunan sama.
Suhakam sebelum ini menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) dan polis mengkaji semula keputusan mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai NFA.
Tambah Kulasegaran, kajian kebolehlaksanaan penubuhan tribunal berkenaan telah mula dilaksanakan dan dijangka siap pada Oktober ini.
Selain itu, JKKTHAM juga meneliti pelbagai perspektif, pandangan dan input berkaitan aspek-aspek yang relevan dengan usaha ini.
Tegasnya, penubuhan tribunal adalah selari dengan Perlembagaan, serta mengambil kira pandangan dan aspek pematuhan kepada syariah Islam.